Arul ‘nasihatkan’ KHM

276
FOTO: UNIKL HOCKEY
KETUA Jurulatih pasukan hoki UniKL, Arul Selvaraj meminta Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) supaya mengeluarkan jadual pertandingan lebih awal bagi saingan Liga Hoki Malaysia musim depan.

Jelasnya, ini perlu dilakukan agar pasukan-pasukan bertanding dapat membuat persedian yang rapi terutama sekali dalam mengendali hal membabitkan pemain-pemain import.

“Jadual pertandingan yang awal dapat banyak membantu pasukan-pasukan dalam persiapan mereka. Saya merayu pihak MHC agar membantu pasukan-pasukan dalam pengurusan mereka juga.

“Apa akan terjadi pada Liga Hoki Malaysia jika ada lebih banyak pasukan yang mengundur diri dan tidak mahu bertanding?,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar KHM lebih tegas dalam menangani isu membabitkan pemain import.

“MHC harus ikut langkah EHF (Federasi Hoki Eropah) yang tidak mudah melayan pertukaran tarikh penutupan pendaftaran pemain. Jika KHM telah membuat keputusan menetapan tarikh pendaftaran maka mereka harus serius dalam keputusan mereka.

“Jangan tunda-tunda ke tarikh lain. Ini tidak sekali membantu pasukan-pasukan dalam persediaan mereka,” kata Arul lagi.

Musim ini, UniKL mencatat kejayaan manis apabila menyambar gelaran sulung Liga Perdana sejak ditubuhkan pada 2009. Lebih membanggakan, kejayaan itu hadir dengan rekod tanpa kalah dalam semua 12 perlawanan liga dengan 11 kemenangan dan satu seri.

Bagaimanapun, hasrat UniKL meraih kejuaraan berganda musim ini musnah apabila tewas 2-1 kepada Terengganu Hockey Team (THT) dalam aksi final Piala TNB baru-baru ini. Ia merupakan kekalahan kali pertama dirasai UniKL pada musim ini dengan detik tersebut hadir dengan cara paling memedihkan.

Komen anda