Arwah simpan duit kemenangan demi bawa keluarga pergi umrah

310
Nor Azman ketika ditemui pemberita, semalam.
Nor Azman ketika ditemui pemberita, semalam.

NORMAWATI ADNAN

PELUMBA Cub Prix, Allahyarham Mohd Hafiz Nor Azman yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, semalam sanggup menyimpan wang kemenangannya untuk membawa ahli keluarga menunaikan umrah.
Bapa, Nor Azman Mad Darus, 54, berkata, arwah bersungguh menyatakan hasrat untuk membawa dia dan isteri, Rohana Hamzah, 52, serta anak sulung, Nor Shaziela, 30, mengerjakan ibadah itu, Januari depan.
“Saya cakap biarlah dia pergi dulu, kalau ada rezeki saya boleh pergi kemudian tetapi dia nak juga bawa saya, maknya dan kakaknya ikut sama.
“Dia simpan duit kemenangan yang ada..itu yang buat saya terkilan sangat, dia anak yang baik,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Serdang Permai, Simpang Pulai, hari ini.
Jenazah Allahyarham tiba dari Hospital Kota Tinggi, Johor sekitar jam 5.30 pagi dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serdang Permai, hari ini.
Pelumba berusia 22 tahun dari Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing itu meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Bandar Penawar, Johor.
Nor Azman berkata, ketika insiden berlaku, dia berada di kawasan hadapan litar dan tidak sempat melihat keadaan Allahyarham yang telah dibawa ambulans.
“Waktu itu sudah ada yang maklumkan pada saya arwah dah 50-50, saya pun terus bergegas ke hospital,” katanya.
Katanya, ini kali kedua Mohd Hafiz berlumba di litar yang sama sejak menyertai kejuaran berprestij pada 2010.
Mengulas mengenai nahas itu, Nor Azman menyerahkan sepenuhnya kepada penganjur untuk menilai aspek keselamatan pelumba sepanjang perlumbaan berlangsung.
“Saya lihat semalam (aspek keselamatan) kurang sikit, jadi saya minta pihak-pihak lain bantu lihat sama, takut berulang lagi,” katanya.

Komen anda