Asia sokong penambahbaikan sistem ranking hoki dunia

32

ASIA memberi sokongan terhadap cadangan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) memperkenalkan sistem ranking baharu untuk menjadikan ia lebih adil kepada semua negara.

Ketua Eksekutif Persekutuan Hoki Asia (AHF, Datuk Tayyub Ikram berkata, sistem menentukan kedudukan bagi pasukan kebangsaan itu masih dalam pertimbangan tetapi dijangka akan dilaksanakan selepas Sukan Olimpik Tokyo pada 2020.

“Sistem ranking dunia ketika ini tidak membantu negara-negara Asia dan benua Afrika tetapi saya berpendapat cadangan sistem baharu itu akan memberi peluang sama rata kepada semua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian perkongsian dengan antara AHF dan syarikat penerbangan AirAsia, di sini, semalam.

Mengikut kaedah sistem ranking dunia, mata hanya ditawarkan untuk kejohanan utama FIH, Sukan Olimpik dan kejohanan benua tertentu, justeru, negara yang tidak bertanding pada kejohanan utama tidak mendapat peluang untuk memperbaiki kedudukan ranking mereka.

Sebelum ini, semasa mesyuarat jawatankuasa eksekutif FIH, Ketua Eksekutif FIH, Thierry Weil memaklumkan bahawa badan induk hoki dunia itu akan menyemak semula sistem ranking supaya ia lebih adil.

Weil dilaporkan berkata persekutuan itu akan mengusahakan sebuah sistem yang mudah yang meliputi semua kejohanan bagi membolehkan negara bertanding mengetahui jumlah kutipan mata masing-masing selepas setiap kejohanan.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Berhad, Datuk Kamarudin Meranun berkata perjanjian dengan AHF itu bertujuan membina sebuah budaya komersil dalam dunia hoki Asia serta membangunkan sukan itu di rantau ini.

“Syarikat penerbangan ini telah lama melabur dalam bidang sukan di Asia dan kami berharap kerjasama ini akan memberi lebih banyak peluang kepada pemain hoki di rantau ini serta memajukan sukan hoki Asia bersama AHF,” katanya.

Komen anda