Asum rangka strategi raih slot Tokyo 2020

259
PERSATUAN Renang Amatur Malaysia (Asum) menyenaraikan empat calon jurulatih luar dari Amerika Syarikat dan United Kingdom untuk skuad renang negara.

Setiausaha Kehormatnya, Mae Chen berkata, badan induk sukan itu memerlukan jurulatih  berpengalaman dalam melatih atlet dengan corak latihan berprestasi tinggi terutamanya dalam persiapan  misi meraih slot ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

“Jurulatih luar yang disenaraikan itu mempunyai pengalaman luas bukan sahaja sebagai jurulatih tetapi  sebagai atlet. Mereka juga antara jurulatih yang boleh membantu Asum menyediakan ‘blueprint’ latihan skuad  renang.

“Asum uga menilai dalam aspek komunikasi. Jurulatih yang dipilih perlu mempunyai komunikasi yang baik bukan sahaja dengan atlet tetapi dapat berkongsi pengalaman kepada jurulatih-jurulatih tempatan,” katanya ketika ditemui pada Bengkel Penetapan Program Latihan 2019 yang membabitkan 26 persatuan sukan di MSN, Bukit Jalil di sini hari ini.

Mae berkata, pihaknya akan menyerahkan senarai calon tersebut kepada Majlis Sukan Negara dan berharap pelantikan itu dapat dilakukan secepat mungkin bagi persediaan atlet menghadapi kejohanan penting tahun depan.

Portal tempatan sebelum ini melaporkan jurulatih renang kelahiran Great Britain, Chris Martin dan Dr Micheal Peyrebrune dari Amerika Syarikat adalah antara calon pengendali baharu skuad kebangsaan yang disenarai pendekkan bagi menggantikan Paul Birmingham, bulan depan.

Jelasnya pemilihan jurulatih luar itu sangat penting kerana negara mempunyai perenang berpotensi tinggi seperti Welson Sim.

“Welson adalah antara perenang yang berbakat besar dan kami juga risau prestasinya menurun. Tahun depan adalah penting untuk atlet negara dalam misi meraih slot Sukan Olimpik, jadi pemilihan jurulatih perlu    dilakukan segera,” katanya. – Bernama

Komen anda