Atlet negara kena lebih bijak

230

ZURAIMEE ZAINAL

BARISAN  atlet negara terutama atlet muda yang bakal membawa cabaran negara pada Sukan SEA 2019 di Filipina dinasihatkan mendapatkan pandangan pakar sebelum mengambil sebarang ubat atau supplemen bagi mengelakkan mereka terjebak menggunakan bahan terlarang.

 

 

Menurut bekas atlet olahraga yang juga jaguh lompat kijang negara, Zaki Sadri, sudah menjadi tanggungjawab atlet untuk mengetahui setiap pengambilan supplemen atau ubat.

 

 

“Pada zaman saya dulu kami atlet perlu merujuk bab pengambilan ubat ini dengan pihak ISN (Institut Sukan Negara) ataupun daripada doktor yang lebih arif mengenai sukan dan bukannya senang-senang beli macam itu sahaja atau atas saranan rakan-rakan.

 

 

“Sekarang ini dengan lambakan pelbagai aneka ubat dan supplemen di pasaran, saya nasihatkan atlet negara supaya jangan terpengaruh dengan budaya menjadikan rakan atau jurulatih sebagai rujukan dalam bab ini.

 

 

“Kadang-kadang jurulatih pun kurang arif mengenai apa yang boleh diambil oleh atlet mereka sama ada mengandungi bahan terlarang dalam sukan atau tidak.

 

 

“Pada saya, sebaiknya dapatkanlah nasihat doktor yang lebih arif dalam bab sukan atau paling senang rujuk terus dengan ISN,” katanya.

 

 

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dengan kerjasama Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) akan menjalankan ujian doping awal sebelum Sukan SEA 2019 dengan sukan berisiko tinggi seperti angkat berat, renang, olahraga dan badminton berada dalam pemantauan.

 

 

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Dr SS Cheema menggesa atlet kebangsaan supaya merujuk kepada pegawai ISN jika terdapat keraguan mengenai bahan yang mereka gunakan sama ada semasa latihan atau pertandingan.

 

 

Pada masa sama , Zaki menyarankan ISN untuk lebih kerap mengadakan kempen penerangan mengenai ubat atau supplemen yang boleh digunakan oleh atlet dalam usaha mewujudkan kesedaran dalam kalangan mereka.

 

 

“Biarpun nampak remeh tapi apabila berlaku ia tidak hanya memberi impak negatif kepada life span atlet yang kita tahu sememangnya singkat  tetapi juga imej negara pada masa depan.

 

 

“Sebab ada segelintir atlet bila bersemangat nak menang pingat, mereka sanggup buat apa sahaja tanpa memikirkan kesan sampingan,” katanya.

 

 

Pada  Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, pingat tiga atlet termasuk penerjun wanita negara, Wendy Ng Yan Yee selain perenang Thailand, Benjaporn Sriphanomthorn dan Nurisan Loseng (pencak silat) ditarik balik selepas mereka didapati menggunakan bahan terlarang.

Komen anda