‘Awal lagi letak sasaran emas Olimpik’ – BAM

217
FOTO: Bernama

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyatakan masih terlalu awal untuk meletakkan sasaran pingat emas Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata badan induk sukan itu tidak mahu memberi tekanan kepada mana-mana pemain terutamanya jaguh perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei dan pemain muda lain.

Jelasnya BAM memberi kepercayaan sepenuhnya kepada barisan kejurulatihan dalam membimbing pemain masing-masing untuk meraih slot ke Sukan Olimpik yang akan bermula Mei ini.

“Buat sementara, kita tidak boleh meletakkan sasaran emas Sukan Olimpik kepada Datuk Lee Chong Wei. Kita tidak boleh beri tekanan kepadanya. Bagi dia masa untuk menjalani latihan selepas pulih sepenuh daripada penyakitnya itu.

“Seperti saya sebutkan sebelum ini, semua keputusan adalah daripada Chong Wei sendiri. Hanya beliau yang tahu apa terbaik untuk dirinya. Kita juga ada pemain muda yang sedang meningkat naik seperti Lee Zii Jia.

“Kalau kita lihat, banyak perkembangan positif Zii Jia, beliau baru berusia 21 tahun dan masih muda, saya percaya Datuk Misbun Sidek (ketua jurulatih perseorangan lelaki) mempunyai perancangan terbaik untuk pemain muda,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CNT) di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara hari ini.

Chong Wei akan membuat kemunculan semula pada saingan Terbuka Malaysia, April depan, selepas berehat panjang susulan kanser hidung dihidapinya.

Dalam perkembangan lain, Ng berkata BAM akan menghantar pemain muda bagi menggalas cabaran Malaysia di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia atau lebih dikenali sebagai Piala Tong Yun Kai di Hong Kong pada 19 hingga 24 Mac ini.

Jelasnya, selain memberi pendedahan, tujuan BAM mengetengahkan pemain muda pada kejohanan itu kerana mahu mendidik pemain menjadi lebih matang dalam menghadapi kejohanan besar dan bersedia menjadi pemain bertanggungjawab.

“Ini platform terbaik mereka. Kita bukan sahaja mahu melihat  pencapaian daripada prestasi mereka tetapi mahu pemain muda lebih matang dan bersedia apabila dipilih menggalas cabaran negara. Acara berpasukan berbeza dengan individu, semangat berpasukan akan membantu mereka lebih kompetitif,” katanya.

Barisan pemain untuk kejohanan berkenaan adalah Cheam June Wei, Soong Joo Ven (perseorangan lelaki); Lee Ying Ying, Ho Yen Mei (perseorangan wanita); Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani,  Low Hang Yee-Ng Eng Cheong (beregu lelaki); Pearly Tan-Yap Ling, Anna Cheong-Lim Chiew Sien (beregu wanita); dan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei (beregu campuran). – Bernama

 

Komen anda