Ayuh Reds bawa pulang Piala Super UEFA ke bumi Anfield

89

PENGENDALI Liverpool Jurgen Klopp mahu pemainnya terus tamak dan dahagakan kejuaraan sekali gus memenangi Piala Super UEFA ketika menentang Chelsea di Vodafone Arena, Istanbul, Turki, awal pagi esok.

Menurutnya, beliau tidak mahu kejayaan The Reds di pentas tertinggi Eropah hanya berakhir selepas memenangi Liga Juara-Juara musim lalu sebaliknya mahu diteruskan dengan menjulang Piala Super UEFA dan dalam masa sama menjadi penanda aras keupayaan Liverpool musim ini.

“Saya mahu pemain terus tamak. Saya tidak meragui kesungguhan pemain tetapi sifat tersebut perlu terus kekal dalam diri mereka supaya kita boleh mencapai lebih banyak kejuaraan.

“Saya tidak mahu pemain rasa puas dengan apa yang sudah dimiliki kerana perjalanan pasukan ini masih jauh dan berliku. Piala Super UEFA ini bukti bahawa Liverpool benar-benar layak menang Liga Juara-Juara baru-baru ini,” katanya.

Mengulas lanjut, kata pengendali kelahiran Jerman itu, sanjungan serta pujian selepas memenangi Liga Juara-Juara musim lalu juga harus dilupakan seketika oleh anak buahnya untuk mengelakkan rasa bangga sekali gus membunuh keinginan untuk menjuarai Piala Super UEFA.

“Setelah perlawanan akhir Liga Juara-Juara, kami ada sekitar empat minggu di mana semua memuji kami ke mana pun kami pergi. Ia adalah sesuatu yang luar biasa.

“Itu bagus, tetapi dari satu segi ia boleh membuatkan kami lemah dan tak berupaya menyajikan potensi yang baik. Kami perlu terus konsisten dan berusaha lebih lagi, “katanya.

Mengulas mengenai kemampuan Chelsea, kata Klopp, beliau tidak mahu memandang rendah kelab itu walaupun bermula hambar pada perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) dimalukan Manchester United 0-4.

“Saya yakin saingan EPL dan Piala Super UEFA ini berbeza. Kita tidak tahu apa yang bakal dipamerkan Chelsea dalam perlawanan itu nanti. Saya tidak mahu melihat Chelsea itu sebagai pasukan yang tewas kepada United baru-baru ini.

“Kami perlu berwaspada dan cuba mengekang permainan mereka dan dalam masa sama saya mahu pemain menampilkan corak persembahan cemerlang untuk menang piala ini,” katanya.

Komen anda