Azlan mula langkah kanan saingan ARCC 2019

115
FOTO: FIM ASIA

PELUMBA negara, Azlan Shah Kamaruzaman memulakan musim 2019 dengan langkah kanan selepas muncul juara perlumbaan pertama kategori Asia Superbike 1000cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

Azlan, yang mewakili pasukan Onexox TKKR SAG Racing Team, menamatkan perlumbaan 11 pusingan perlumbaan dengan catatan 23 minit 21.172 saat untuk mengatasi Thitipong Warokorn dari pasukan Kawasaki Thailand Racing Team di kedudukan kedua dengan masa 23:23.137s.

Pelumba Australia, Broc Parkes dari pasukan Yamaha Racing Team ASEAN menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan masa 23:28.753s.

Pada aksi hari ini, Azlan yang bermula dari petak kedua bijak mengatur strategi apabila menunggu sehingga ke pusingan kesembilan untuk memintas Thitipong dan terus memimpin perlumbaan sehingga ke garisan penamat.

“Perlumbaan agak sukar kerana cuaca yang sangat panas dan saya perlu bijak untuk mengawal penggunaan tayar, namun pada masa sama cuaca panas juga memberi kelebihan kepada saya,” kata juara SuperSports 60cc Asia 2013 dan 2017 itu.

Azlan pada masa sama, turut berterima kasih kepada seluruh pasukan dan penaja yang bekerja keras sepanjang minggu ini sehingga kami berjaya menaiki podium, dan berharap dapat mengekalkan momentum kemenangan pada perlumbaan kedua esok.

Dalam saingan SuperSports 600cc, dua pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayuddin dan Muhamad Adam Mohd Norrodin mempamerkan aksi cemerlang apabila masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.

Kasma Daniel, mewakili pasukan Hong Leong Yamaha Malaysia, mencatat masa keseluruhan 21 minit 54.494s, manakala Muhamad Adam yang merupakan bekas pelumba Moto3 negara, melakar catatan masa 21:58.189s.

Pelumba Thailand, Peerapong Boonlert yang beraksi untuk pasukan Yamaha Thailand Racing Team muncul juara kategori berkenaan yang melibatkan perlumbaan 10 pusingan dengan catatan 21:53.239s.

 

Keputusan perlumbaan pertama:

Asia Superbike 1000cc:

1 Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Onexox Tkkr SAG Racing Team 23 minit 21.172 saat

2 Thitipong Warokorn (THA) Kawasaki Thailand Racing Team 23:23.137s

3 Broc Parkes (AUS) Yamaha Racing Team ASEAN 23:28.753s

4 Ahmad Yudhistira (INA) Victor Racing Team Yamaha 23:36.887s

5 Apiwath Wongthananon (THA) Yamaha Thailand Racing Team 23:37.257s

 

SuperSports 600cc:

1 Peerapong Boonlert (THA) Yamaha Thailand Racing Team 21:53.239 saat

2 Kasma Daniel Kasmayudin (MAS) Hong Leong Yamaha Malaysia 21:54.494s

3 Muhamad Adam Mohd Norrodin (MAS) SIC Junior ZK Racing 21:58.189s

4 Azroy Hakeem Anuar (MAS) Musashi Boon Siew Honda Racing Team 22:00.461s

5 Md. Helmi Azman (MAS) Musashi Boon Siew Honda Racing Team 22:00.548s.

Komen anda