BAM belum beri ‘lampu hijau’ untuk Ee Wei bergerak sendiri

109
Ee Wei diminta memikirkan sedalam-dalamnya keputusan untuk keluar daripada BAM.

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tidak bercadang melepaskan pemain beregu remaja wanita negara, Toh Ee Wei yang berhasrat berlatih secara persendirian selepas berehat panjang daripada pembedahan hidung akibat sinus yang kronik.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, perkara itu sudah dijelaskan sejak awal lagi yang mana pemain hanya boleh keluar daripada BAM selepas berbakti kepada negara.

"Kita sudah bincangkan perkara ini di peringkat council yang mana semua pemain yang kita didik sejak umur 13 hingga 18 tahun, (mereka perlu) berbakti kepada negara melalui BAM. Perkara itu jelas.

"Jadi, kita berasakan susah untuk kita pertimbangkan atau buka pintu dengan mudah apabila ada seorang pemain berasakan dia mahu bermain di luar BAM atau bergerak sendiri (independent).

"Kalau melihat kepada pentadbiran atau pengurusan kita, seseorang pemain itu boleh keluar hanya selepas dia berbakti kepada negara," katanya.

Tambahnya, sebagai pemain muda, Ee Wei seharusnya memikirkan perkara itu sedalam-dalamnya terutama melibatkan aspek fasiliti dan penyertaan di peringkat antarabangsa.

"Semua pemain muda memerlukan fasiliti terbaik dan satu-satunya fasiliti terbaik yang ada di negara ini ialah di bawah BAM.

"Satu lagi, saya mahu Ee Wei memikirkan bahawa satu-satunya cara dia boleh beraksi pada kejohanan antarabangsa ialah melalui penyertaannya dalam BAM," katanya lagi.

Sebelum ini, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choon Hann memberitahu, pihaknya menghormati keputusan Ee Wei, 18, yang masih belum bersedia untuk menyertai kem latihan BAM sejak 7 Mei lalu.

Untuk rekod, gandingan Ee Wei-Pearly Tan berjaya muncul naib juara Kejohanan Badminton Remaja Asia dan Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Kanada, pada Julai dan November tahun lepas.

Komen anda