BAM puas hati prestasi pemain muda di Piala Sudirman

289
Aksi berdarah pasangan beregu lelaki negara ketika menentang Jepun, semalam.

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) berpuas hati dengan pencapaian pemain muda negara dalam kejohanan Piala Sudirman 2019 di Nanning, China walaupun tewas kepada Jepun di peringkat suku akhir, semalam.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemain menunjukkan persembahan mengagumkan sekali gus memberikan tentangan sengit kepada negara Matahari Terbit itu yang diketahui membarisi pemain bertaraf dunia.

“Saya berpuas hati dengan pencapaian mereka memandangkan mereka adalah pasukan muda dan tanpa lima pemain yang pernah beraksi di Sukan Olimpik.

“Malaysia juga merupakan salah satu pasukan bukan pilihan dalam kejohanan itu, namun mampu melangkah ke saingan suku akhir,” katanya kepada Sukan Sinar.

Dalam aksi suku akhir di Pusat Sukan Guanxi, Nanning itu, skuad negara tewas 0-3, namun pujian perlu diberikan kepada pemain yang beraksi baik menyaingi pemain ternama Jepun.

Beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin mencuri tumpuan dengan permainan bertenaga sebelum terpaksa akur kepada beregu nombor dua dunia, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 21-13, 24-26 dan 21-23.

Perseorangan Wanita, Soniia Cheah pula tunduk 16-21, 13-21 kepada Nozomi Okuhara sebelum Lee Zii Jia yang mengalas tugas sebagai perseorangan lelaki negara tewas kepada pemain nombor satu dunia, Kento Momota 18-21,16-21.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann menyifatkan kerja keras serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh pemain dalam sesi latihan mula membuahkan hasil melalui permainan mantap yang ditunjukkan pemain muda dalam kejohanan itu.

Menurutnya, banyak peningkatan yang dipamerkan pemain sekali gus mengharapkan agar persembahan dan latihan keras tersebut dapat diteruskan dalam usaha membentuk pemain berkualiti pada masa depan.

“Saya percaya mereka telah membuktikan kerja keras dalam latihan akhirnya membuahkan hasil. Saya harap mereka akan terus konsisten berlatih dan berikan yang terbaik.

“Sudah tentu dengan segala kesungguhan yang dipamerkan, mereka mampu jadi yang terbaik di masa depan,” katanya.

Untuk rekod, BAM menghantar barisan pemain muda dan tidak meletakkan sebarang harapan dalam saingan Piala Sudirman kali ini.

Komen anda