Batu 2 FC: ‘Semua itu satu pembohongan!’

262
Kenyataan yang dikeluarkan Ljuba sebelum ini.

Pihak pengurusan kelab Liga M3, Batu 2 FC (B2FC) tampil menafikan dakwaan bekas pemain importnya, Ljuba Baranin yang menuduh pihaknya melakukan penganiayaan dalam soal pembayaran gaji.

Menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasmi mereka, B2FC menyifatkan kenyataan bekas pemainnya itu sebagai satu pembohongan.

"Pihak kami menafikan sekeras kerasnya kenyataan yang telah dikeluarkan oleh bekas pemain import kami. Tuduhan menipu amat berat bagi kami memandangkan beberapa persetujuan lisan telah dicapai sebelum pemain tersebut menandatangani kontrak bersama Kelab.

"Apabila jendela perpindahan kedua dibuka, pihak kelab melakukan penstrukturan semula gaji dan berbincang dengan semua pemain. Pemain import tidak terkecuali. Apabila persetujuan tidak dicapai, maka kedua belah pihak bersetuju untuk penamatan kontrak," kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, B2FC mengakui mempunyai masalah kewangan apabila meminta pemain menghantar semula yang cek yang telah diberikan sebelum ini.

Namun, mereka menjelaskan B2FC tidak pernah lari daripada tanggungjawab dan telah berusaha untuk melunaskan gaji pemain dan pegawai.

Pada masa sama, pihak kelab turut meminta Ljuba tampil bersemuka dengan pihak kelab dan sedia mengambil tindakan undang-undang kepada pemain kelahiran Serbia itu.

"Kami berharap pemain tersebut tampil dan berjumpa kami. Menjadi kemusykilan apabila setelah beliau bersetuju dengan jumlah yang diterima serta menurukan tandatangan, beliau terbang ke negara asal dan tiba disana terus menyerang kami.

"Fikir dan renungkanlah perbuatan Ljuba Baranin ini tepat atau apa agenda beliau. Kami pengurusan kelab sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk membetulkan keadaan dan paling penting membersihkan nama-nama individu di dalam kelab demi kebaikan pemain, pegawai, penaja dan kelab ini sendiri.

"Namun, kami juga tidak teragak agak untuk mengambil sebarang tindakan mengikut prosedur dan undang-undang," menurut kenyataan kelab itu lagi.

Terdahulu, Ljuba dalam laman sosial Facebook miliknya mendakwa dia menjadi mangsa penganiayaan oleh pihak pengurusan kelab yang bertapak di Kuala Selangor itu.

Komen anda