Bayern gigih kejar khidmat Sane

26
LS

Kelab gergasi Jerman, Bayern Munich tidak mahu menyerah kalah dalam usaha mereka untuk membawa masuk tonggak Manchester City, Leroy Sane.

Pada jendela perpindahan pemain musim panas lalu, Bayern mengakui mereka berminat untuk membawa Sane ke Allianz Arena bagi menggantikan Arjen Robben dan Franck Ribery yang meninggalkan The Bavarians selepas kontrak kedua-dua jentera tengah itu tidak disambung.

Begitupun, proses perpindahan Sane berdepan halangan apabila City tidak berniat melepaskan penyerang kelahiran Jerman itu selain nilai tanda harganya yang mencecah sehigga 100 juta euro – nilai yang membuatkan The Bavarians mustahil untuk membawanya ke Allianz Arena.

Bayern dikatakan membatalkan hasratnya itu selepas Sane mengalami kecederaan lutut yang teruk pada perlawanan Perisai Komuniti menentang Liverpool di Stadium Wembley dua minggu lalu.

Bagaimanapun, media di Jerman melaporkan Bayern nampaknya tidak mahu mengalah untuk membawa Sane. Dikhabarkan, mereka akan cuba berunding dengan City untuk melepaskannya pada jendela perpindahan pemain musim sejuk awal tahun depan.

Pada masa itu, kontrak Sane hanya berbaki 18 bulan, sekali gus menjadikan City tidak mempunyai alasan yang cukup untuk tidak segera melepaskan penyerang berusia 23 tahun tersebut.

Malah, laporan terbaharu mengatakan bahawa The Citizens masih menangguh urusan untuk menyambung kontrak Sane kerana mahu melihat perkembangan kecederaan lutut yang dialami pemain kelahiran Jerman itu.

Komen anda