Belenggu kecederaan mulai himpit kem Arsenal

65

KEKALAHAN 1-3 Arsenal kepada Manchester United pada Pusingan Keempat Piala FA di Stadium Emirates tidak hanya menyaksikan The Gunners tersingkir daripada kejohanan tetapi juga berdepan dengan krisis kecederaan dalam kalangan pemain khasnya bahagian pertahanan.

Kapten Arsenal, Laurent Koscielny dipercayai mengalami keretakan tulang rahang manakala Sokratis Papastathopoulos pula berdepan masalah buku lali ketika tewas kepada kepada The Red Devils berkenaan sekaligus menyaksikan Gunners hanya mempunyai seorang pertahanan tengah yang cergas sepenuhnya.

Sebelum aksi berkenaan, skuad kendalian Unai Emery telah pun bergelut dengan masalah kecederaan beberapa tonggak pertahanan seperti Rob Holding dan Hector Bellerin yang terpaksa berehat hingga hujung musim ini.

Namun Emery ketika ditanya masalah di hadapi bahagian pertahanannya menyifatkan itu bukan perkara besar kepada kelab berkenaan.

“Ia bukan masalah yang besar untuk Sokratis, sebab ia berkaitan buku lali, manakala Koscielny pula akan ke hospital bagi menjalani ujian.

“Mungkin ada sesuatu yang patah tapi saya harap ia tidak, tapi kami kena tunggu,” kata Emery.

Pengendali itu juga mendakwa belenggu kecederaan pemain menjadi faktor menyumbang kekalahan kelab itu kepada lawan kendalian jurulatih sementara, Ole Gunnar Solskjaer itu yang sudah mencatat kemenangan lapan perlawanan berturut-turut .

“Ketika kedudukan 1-2 kami masih boleh berjuang untuk seri atau meraih kemenangan.

“Tapi disebabkan kecederaan terutama sekali kecederaan kedua Koscielny, ia tidak membantu kami, tambah pula dua kecederaan,” kata Emery.

Aksi di Emirates itu, pelawat memperoleh kelebihan dua gol bekas pemain Arsenal, Alexis Sanchez dan Jesse Lingard sebelum Pierre-Emerick Aubameyang merapatkan jurang, namun jaringan lewat Anthony Martial mengesahkan kemenangan pelawat.

Komen anda