Berbasikal Trek, Terjun dan Kareto Do miliki potensi

346

SANDARAN meraih pingat emas pertama negara dalam Sukan Olimpik bukan semata-mata diletakkan kepada sukan badminton malahan merangkumi beberapa acara sukan lain.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, selain badminton, beberapa jenis sukan telah dikenal pasti sebagai acara sukan yang mampu untuk menyumbang pingat emas kepada negara seperti berbasikal trek, terjun dan karate-do.

"Jika sebelum ini kita hanya nampak sukan badminton sahaja. Ini bukan bermakna MSN menidakkan sumbangan badminton. Sekarang ini kita ada dalam sukan terjun contohnya, Chong Jun Hoong berjaya memecah dominasi penerjun China dalam acara individu.

"Begitu juga dalam sukan berbasikal, kita ada Azizulhasni (Awang) yang mampu mencipta kejutan,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Shapawi menjelaskan 2019 menjadi tahun penting bagi semua atlet walaupun hanya ada temasya Sukan Sea kerana mereka perlu melayakkan diri secara merit atau mengumpul mata kelayakan untuk beraksi di Sukan Olimpik Tokyo.

"Melalui penstrukturan semula program latihan atlet, atlet-atlet yang telah diletakkan dalam Tier 1 dan 2, mereka sekarang ini perlu melayakkan diri ke Sukan Olimpik. Setakat ini dua pelayar negara telah melayakkan diri melalui pencapaian di Sukan Asia, manakala bagi lain-lain atlet, tahun hadapan adalah tahun kelayakan ke Olimpik dan mereka mesti melepasi had kelayakan," ujarnya.

Dua atlet sukan pelayaran yang telah pun layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo ialah Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Abdul Latif.

Sementara sukan karate turut diletakkan sebagai sandaran pingat emas memandangkan acara berkenaan akan dipertandingkan buat pertama kali dalam temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malaysia sudah memiliki tiga atlet dalam kelompok 10 terbaik dunia iaitu Syakilla Salni Jefry Krisnan dalam kategori kumite, serta Lim Chee Wei dan Celine Lee Xin Yi untuk kategori kata.

Untuk rekod, pada 30 Oktober lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengumumkan Program Podium akan distrukturkan semula secara holistik yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh MSN.

Pogram baharu itu menggunakan pendekatan sistem berperingkat iaitu fleksibiliti dalam pemilihan atlet serta pelaksanaan program dapat dibuat secara efisien dan penetapan sasaran lebih mudah dilaksanakan.

Melalui program baharu itu, Tahap 1 untuk Sukan Olimpik dan Paralimpik; Tahap 2 (Sukan Asia, Para Asia dan Sukan Komanwel); Tahap 3 (Sukan SEA dan Para Asean) dan Tahap 4, merangkumi sukan yang tidak dipertandingkan di mana-mana temasya sukan berdasarkan prestasi di pentas antarabangsa seperti bina badan.

Kerajaan memperuntukkan RM100 juta pada Belanjawan 2019 yang dikhususkan kepada persiapan atlet menuju ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.– BERNAMA–

–TAMAT–

Komen anda