Biar saya teliti terlebih dahulu permasalahan

67
Kenny Goh

PERANCANGAN untuk melakukan sebarang perubahan atau rombakan dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan diusulkan sekiranya perlu.

Datuk Kenny Goh, yang akan memulakan tugas sebagai Setiausaha Agung BAM berkuat kuasa 1 September ini berkata, beliau akan meneliti terlebih dahulu permasalahan yang terdapat dalam badan induk berkenaan sebelum mengusulkan sebarang cadangan.

“Apabila saya bersetuju untuk kembali (kepada BAM), saya ada beberapa idea dan rancangan, tapi untuk lebih adil saya perlu masuk dahulu dan lihat situasi keseluruhan. Memang ada perubahan besar yang boleh dilakukan, dan memang saya akan usulkannya,” katanya ketika ditemui di Kejohanan Badminton Remaja Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2019 hari ini.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai prestasi pemain Malaysia di Kejohanan Badminton Dunia 2019, Kenny mengakui keputusan pasukan Malaysia agak mengecewakan namun, beliau percaya akan kebangkitan pemain muda yang dilihatnya sebagai berpotensi.

“Keputusan keseluruhan amat mengecewakan… bagaimanapun masih ada secebis harapan apabila anda dapat lihat beberapa pemain yang berpotensi, ada yang memang muda… jadi saya ingin tegaskan di sini jalan penyelesaiannya sentiasa ada,” katanya.

Kenny yang berusia 52 tahun itu bukan lagi asing dalam arena badminton kerana beliau sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai pengurus besar sebelum berhijrah ke Badminton Asia (BA) sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO).

Komen anda