‘Big Three’ tiada peluang!

162

Legenda tenis dunia, Alex Corretja mencetuskan perdebatan hangat menjelang saingan pembuka tirai Grand Slam 2019 – Terbuka Australia di Melbourne minggu depan.

Secara terbuka, Corretja memberitahu bahawa ‘Big Three’ iaitu tiga jaguh handalan dunia – Roger Federer (Switzerland), Rafael Nadal (Sepanyol) dan Novak Djokovic (Serbia) tidak memiliki peluang untuk muncul juara pada edisi kali ini.

“Saya berpendapat masih ada 15 hingga 20 pemain lagi yang akan memburu kejuaraan Terbuka Australia tahun ini. Saya tidak tahu sama ada mereka (Federer, Nadal dan Djokovic) mempunyai peluang atau boleh memenangi Terbuka Australia.

“Apa yang boleh saya katakan, mereka bakal menghadapi tugas sukar. Kita akan dapat saksikan beberapa pemain lain yang mampu melakukan kejutan sebaik aksi pusingan pertama bermula.

“Saya tidak rasakan kejohanan ini akan didominasi oleh tiga pemain terbabit. Saingan kali ini dijangka lebih terbuka,” kata Corretja yang telah merangkul 17 kejuaraan sepanjang kariernya.

Sementara itu, Nadal optimis terhadap peluangnya memburu gelaran Terbuka Australia tahun ini biarpun sebelum ini dia dibelenggu dengan masalah kecederaan lutut yang berpanjangan.

Ketika ditanya tentang peluangnya meraih gelaran Terbuka Australia 2019, Nadal menjawab: “Kenapa tidak? Anda semua boleh membuat ramalan dan sudah tentu, saya akan berasa lebih baik jika dapat beraksi sepenuhnya di Abu Dhabi dan Brisbane tetapi yang lebih penting, keadaan saya semakin baik.”

Nadal berkata, dia hanya risau kerana sudah lama tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif.

“Namun, saya kini sudah cergas sepenuhnya dan boleh menjalani latihan di Melbourne sepanjang minggu ini. Perkara paling penting, saya berpeluang untuk bermain dalam perlawanan kompetitif,” jelasnya.

Minggu lalu, Nadal terpaksa menarik diri daripada menyertai kejohanan Antarabangsa Brisbane akibat kecederaan pangkal paha.

“Mujur selepas perlawanan pertunjukan ini (menentang Nick Kyrgios), saya tidak lagi merasai sebarang kesakitan. Saya sudah bersedia memburu kejuaraan Terbuka Australia,” katanya.

Komen anda