BO55KU idam teruskan kebangkitan di MotoGP Austin

107
FOTO: RED BULL KTM TECH3

PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui teruja menantikan perlumbaan di Austin yang akan berlangsung di Circuit of the Americas (COTA) hujung minggu ini.

Ujarnya, dengan kebangkitan yang dipamerkan di Argentina pada perlumbaan terdahulu, beliau mengidamkan penamat yang lebih baik dapat dihasilkan di Austin.

“Selepas kebangkitan di Argentina, saya dapat merasakan bahawa saya sudah mula menyesuaikan diri dengan jentera KTM dan tidak sabar untuk menunjukkan sekali lagi di COTA.

“Saya sangat menyukai litar di Austin ini kerana ia berbeza dengan litar-litar lain. Ia sedikit teknikal dan saya tahu ia tidak akan mudah.

“Tetapi, saya dan pasukan hadir untuk terus berjuang dan cuba untuk memperbaiki segala kekurangan pada motosikal sebelum ini.

“Saya berazam untuk memulakan sesi pertama di Austin dengan cemerlang dan meneruskannya di perlumbaan sebenar Ahad nanti,” katanya di laman rasmi Red Bull KTM Tech3.

Sementara itu, Prinsipal Pasukan Tech3, Herve Poncharal turut berharap Hafizh bersama rakan sepasukannya, Miguel Oliviera dapat mempamerkan lebih banyak kejutan untuk pasukan minggu ini.

“Saya percaya dan berharap Miguel serta Hafizh menunjukkan aksi terbaik seperti yang mereka lakukan di Argentina bagi meneruskan misi kita iaitu mengurangkan jurang dengan pelumba-pelumba lain dalam saingan musim ini.

“Sudah pasti GP Austin akan menjadi perlumbaan yang menarik untuk semua dan saya yakin pelumba kami sudah 100 peratus bersedia untuk menggalas cabaran kali ini,” katanya.

Komen anda