Bottas pesan kepada Ferrari agar tidak bermimpi di siang hari

123

 

PELUMBA Mercedes, Valtteri Bottas meminta pesaing utamanya Ferrari agar tidak bermimpi di siang hari untuk merampas takhta Formula 1 (F1) daripada pasukannya musim ini.

 

Bottas berkata, walaupun Ferrari menunjukkan aksi memukau di sesi pra musim, beliau percaya Mercedes mampu mengubah keadaan itu dalam perlumbaan sebenar nanti.

 

Katanya lagi, dengan beberapa pembaharuan telah dilakukan pasukannya, beliau optimis perlumbaan pembuka tirai di Melbourne nanti akan menunjukkan keupayaan sebenar syarikat dari Jerman itu.

 

“Saya yakin kami akan melakukan beberapa penambahbaikan menjelang perlumbaan di Melbourne nanti. 2019 akan menjadi musim panjang. Tetapi saya percaya jika kami membuat keputusan yang tepat, kami masih akan menjadi pasukan yang kuat musim ini.

 

“Tetapi saya perlu akui, dengan beberapa perubahan kecil pada peraturan F1 musim ini, semua pasukan tampak lebih meningkat berbanding musim lalu.

 

“Cumanya, buat masa ini tiada siapa boleh meramal apa yang akan berlaku. Termasuk Ferrari walaupun mereka kelihatan lebih kuat,” katanya.

 

Mengulas pasukan mana yang akan menjadi pencabar terkuat Mercedes, Bottas tanpa berselindung mengakui Ferrari masih menjadi pasukan yang perlu mereka awasi.

 

“Mereka masih kelihatan kuat. Saya akui pakej yang mereka ada agak luar biasa. Namun, daripada pra musim hingga ke perlumbaan sebenar macam-macam boleh berlaku. Jadi kita perlu tunggu dan lihat,” katanya.

Komen anda