Brazil tidak lemah tanpa Neymar

130
Neymar terpaksa diketepikan daripada saingan Copa America kali ini selepas mengalami kecederaan buku lali.

TONGGAK pertahanan Brazil, Dani Alves percaya pasukan itu tidak mempunyai masalah untuk menjuarai saingan Copa America tahun ini walaupun tanpa kelibat penyerang sensasi Neymar.

Menurutnya, ketiadaan bintang Paris Saint Germain itu tidak melemahkan pasukan dan tidak mahu masalah tersebut menggugat prestasi Brazil ketika ini.

"Saya percaya setiap kali menyarung jersi kebangsaan, kami perlu membuktikan bahawa kami layak. Ada Neymar atau tidak ia bukan masalah. Kami perlu buktikan kerana kami mewakili sebuah pasukan yang penuh dengan kejayaan.

"Tetapi, jika anda ada pemain seperti Neymar ia akan menambahkan kekuatan pasukan. Tetapi, anda tidak akan lemah tanpanya.Ia seperti anda menambahkan kualiti dalam pasukan tetapi jika kehilangannya kami tetap kuat.

"Tanggungjawab kami tetap sama jika tanpa Neymar iaitu untuk menang kejuaraan," katanya.

Neymar terpaksa diketepikan daripada saingan Copa America kali ini selepas mengalami kecederaan buku lali.

Namun, ia bukan masalah besar buat pasukan itu selepas berjaya menundukkan Bolivia 3-0 dalam aksi pertama Kumpulan A Sabtu lalu.

Sementara itu, pemain berusia 36 tahun itu menegaskan belum mahu memikirkan mengenai persaraanya di pentas antarabangsa dan mengakui ingin terus bersama Brazil pada Piala Dunia 2022 di Qatar.

"Terus terang saya katakan bahawa Piala Dunia 2022 menjadi sasaran saya. Tetapi, saya tidak mahu melihat terlalu jauh kerana perlu berada pada tahap terbaik jika mahu terus bermain.

"Apabila anda sudah menjejak usia tertentu, anda mula rasa ragu-ragu. Pasukan juga akan mempunyai banyak pilihan lain serta pemain yang lebih muda. Jadi saya perlu fokus untuk kekalkan stamina dan prestasi semasa," katanya.

Komen anda