‘Bukan gila jawatan, saya cuma mahu buat perubahan’ – Ismail Zakaria

2539
FOTO: UITM FC

Pengendali UiTM FC, Ismail Zakaria kecewa dengan dakwaan beliau mahu bertanding merebut jawatan dalam Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) disebabkan gila kuasa dan wang ringgit.

Ismail ketika dihubungi Sukan Sinar mengesahkan bakal bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam PJBM pada kongres yang berlangsung esok.

Namun jelasnya ia bukanlah disebabkan terlalu mengejar jawatan atau pun wang ringgit seperti didakwa.

Sebaliknya, tujuan utama beliau bertanding adalah kerana mahu melakukan perubahan  demi membawa arena kejurulatihan bola sepak Malaysia ke arah yang lebih baik.

“Buat apa saya mahu kejar jawatan? Saya cuma mahu melakukan perubahan dalam persatuan. Bukan saya kata exco terdahulu tidak buat kerja, tetapi pada pandangan mata saya, masih ada banyak perkara perlu diperbaiki ke arah yang lebih baik

“Nak kata saya gila wang sebab persatuan sudah ada suntikan dana jutaan ringgit? Itu lagi tak betul. Kena ingat dana itu hanya untuk pembangunan persatuan dan kebajikan ahli. Bukannya boleh masuk dalam poket sendiri pun.

“Jadi, kenapa perlu kaitkan isu wang dan kuasa? Jangan bercakap bila melibatkan emosi kerana ia tidak akan membantu. Sebab itu, saya mahu jelaskan perkara yang sebenar-benarnya,” katanya.

Mengulas agenda utamanya jika dipilih menyandang jawatan, Ismail berkata beliau mahu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada jurulatih Malaysia.

“Sekarang ini, ada ramai jurulatih tempatan yang masih menganggur. Jadi, kami mahu mencari inisiatif untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka.

“Selain itu, kita juga perlu memperbanyakkan lagi program-program bersama ahli dalam persatuan. Sebelum ini, jurulatih hanya dapat lesen sahaja, tetapi bagi saya kita perlu memperbanyakkan lagi program seperti seminar, bengkel untuk menambahkan ilmu mereka,” katanya.

Menerusi laporan Sukan Sinar semalam, Presiden PJBM, B Sathianathan meluahkan rasa hairan mengapa ramai pihak tiba-tiba berminat dengan jawatan selepas persatuan itu mendapat suntikan dana yang besar.

Keratan laporan Sukan Sinar.

Sathianathan berkata, beliau bagaimanapun bersikap terbuka dan sedia dicabar muka-muka baharu yang berminat untuk bertanding.

Difahamkan, selain Ismail antara nama besar lain yang akan mencabar jawatan dalam PJBM ialah Redzuan Abdullah, Raja Isa Raja Akram Shah, Reezal Zambree dan Fauzi Pilus.

Komen anda