‘Bukan perlawanan percubaan lagi…’

585

PERLAWANAN pemanas badan menentang skuad bola sepak Bawah 23 (B-23) Australia di Stadium Shah Alam pada Ahad ini akan digunakan Datuk Ong Kim Swee menguji barisan pemain yang kurang beraksi bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik sebelum menghadapi pusingan kelayakan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 yang bermula minggu depan.

 

Ketua jurulatih skuad B-23 negara itu berkata, beliau perlu memberikan lebih banyak peluang kepada pemain yang kurang beraksi kerana mahu mereka berada dalam kecergasan terbaik untuk menghadapi kejohanan berkenaan yang akan berlangsung dari 22 hingga 26 Mac ini di Stadium Shah Alam.

 

“Perlawanan ini bukan percubaan lagi dan saya akan menurunkan barisan terbaik pada perlawanan berkenaan, dan saya mungkin memerlukan khidmat pemain yang jarang diturunkan ini untuk aksi pembukaan pusingan kelayakan menentang Filipina,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad B-22 negara di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

 

Mengulas lanjut, Kim Swee berkata, perlawanan menentang Australia juga menjadi kayu pengukur kepada persediaan skuad muda negara menghadapi pusingan kelayakan AFC kerana lawan yang dibimbing Graham Arnold itu boleh dianggap antara pasukan terbaik di benua Asia ketika ini, susulan pelbagai kejayaan diraih skuad ‘The Olyroos’ sejak beberapa tahun lepas.

 

Dalam pada itu, pengendali kelahiran Melaka itu yakin 27 pemain yang dipanggil untuk latihan pusat kali ini tidak berdepan masalah walaupun kesemua terlibat dalam pelbagai pertandingan termasuk Piala Belia (B-19), Piala Presiden (B-21) dan Liga Premier kerana mereka mendapatkan khidmat pegawai dari Institut Sukan Negara.

 

Malaysia yang menjadi hos kumpulan J pusingan kelayakan, bakal membuka kempen menentang Filipina pada 22 Mac, Laos (24 Mac), sebelum menamatkan pusingan awal menentang China, selang dua hari kemudian.

 

Berdasarkan format kejohanan, 10 juara kumpulan dan lima pasukan kedua terbaik, layak ke pusingan akhir kejohanan di Thailand.

 

Thailand pula layak ke pusingan akhir selaku tuan rumah.

Komen anda