‘Bukan suka-suka tukar venue’ – Kevin jelaskan masalah di Kangar

550
IMPIAN penyokong Perlis untuk melihat pasukan mereka beraksi di laman sendiri menentang Johor Darul Ta’zim (JDT II) Jumaat ini tidak kesampaian.

Ia disebabkan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar masih lagi dalam proses menaikkan taraf tahap pencahayaan lampu untuk membolehkan skuad Singa Utara beraksi pada sebelah malam.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Kevin Ramalingam berkata, venue perlawanan Perlis dan JDT II pada asalnya berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, namun terpaksa diubah ke Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pukul 9 malam.

“Perubahan venue pada perlawanan ketiga Liga Premier itu terpaksa dilakukan selepas Stadium Tuanku Syed Putra masih lagi dalam proses menaikkan taraf tahap pencahayaan lampu.

“Mereka (Persatuan Bola Sepak Perlis) sudah berhubung dengan pasukan JDT II untuk mengubah jadual perlawanan, mereka akan bermain di tempat lawan dulu dan secara timbal balik mereka akan main di tempat sendiri nanti.

“Jadi mereka bersetuju untuk menukar venue perlawanan dan perkara itu tak perlu dijadikan isu sebenarnya,” katanya.

Untuk rekod, Perlis memulakan saingan Liga Premier dengan menentang UKM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dan perlawanan kedua bertemu Uitm FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

MFL menetapkan piawaian tahap pencahayaan lampu stadium 1,200 lux untuk 15 lokasi pemeriksaan bagi semua pasukan dibenarkan beraksi pada sebelah malam di gelanggang masing-masing.
Sementara itu, perlawanan Liga Premier antara Selangor United dan Negeri Sembilan pada 3 Mac depan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pukul 4.45 petang terpaksa diubah kepada 2 Mac.

“Ini susulan pihak Selangor United baru saja memaklumkan bahawa MPS tidak membenarkan perlawanan bola sepak Liga Malaysia 2019 berlangsung pada tarikh berkenaan kerana aktiviti komuniti penduduk Kawasan Selayang dalam pekarangan seliaan stadium,” ujar Kevin.

Komen anda