Bukan tamak, Safawi cuma ‘tiada luck’..

726
KREDIT: JOHOR SOUTHERN TIGERS

KEGAGALAN Safawi Rasid menjaringkan sebarang gol dalam dua perlawanan awal Liga Super tidak membuatkan Pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa panik.

Sebaliknya Figueroa menganggap Safawi telah menunjukkan banyak peningkatan berbanding aksi terdahulu, cuma tuah tidak menyebelahinya untuk menjaringkan gol.

“Mengenai Safawi, beliau telah menunjukkan begitu banyak peningkatan. Beliau juga cuba menjaringkan gol namun tidak berjaya.

“Walaubagaimanapun saya merasakan beliau bermain dengan baik di separuh masa kedua. Saya berasa gembira kerana apabila pemain melakukan kesilapan, mereka berusaha memperbaiki kesilapan tersebut sehingga semua berjalan dengan baik,” katanya di laman rasmi kelab.

Mengulas kemenangan besar 4-1 ke atas Kuala Lumpur di Larkin kelmarin, Figueroa berkata secara keseluruhan ia bukanlah permainan terbaik skuad Harimau Selatan terutama di separuh masa pertama.

Namun, jelasnya pemain berjaya bangkit memperbaiki kesilapan di separuh masa kedua untuk memastikan tiga mata berharga diraih pasukan itu.

“Kami tahu perlawanan bertemu pasukan Kuala Lumpur akan menjadi satu perlawanan yang sukar. Oleh kerana itu kami perlu bekerja keras kerana kebanyakan pasukan akan bermain seperti itu iaitu ‘sit back’ dan menyerang.

“Apa yang saya boleh katakan adalah kami tidak bermain bola sepak dengan baik pada separuh masa pertama. Namun, kami bangkit di separuh masa kedua dan kami memperbaiki beberapa kesilapan yang telah dilakukan serta bermain dengan lebih baik.

“Kami juga melakukan serangan demi serangan sehingga berjaya mencipta empat gol. Kami amat gembira. Apa pun kami tetap perlu memperbaiki kesilapan dan bekerja dengan lebih gigih untuk perlawanan akan datang,” katanya lagi.

Komen anda