Cabaran negara berakhir di separuh akhir

786
Foto: Badminton Association of Malaysia - BAM

CABARAN negara pada kejohanan badminton Indonesia Masters berakhir selepas pasangan beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, tumpas kepada pasangan tuan rumah di separuh akhir, di sini hari ini.

Pada aksi di Istora Senayan di sini, Peng-Soon-Liu Ying, memberi tentangan sengit pada set pertama sebelum tewas 20-22, 11-21 kepada Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir, lawan yang sama menafikan pingat emas untuk pasangan negara pada Sukan Olimpik Rio 2016.

Selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bulan lalu dan mengharungi tiga kejohanan termasuk merangkul kejuaraan Thailand Masters 2019, bulan ini, pasangan profesional itu mengakui memerlukan khidmat jurulatih.

“Fokus kami kini untuk mencari jurulatih baharu kerana akan mengambil bahagian pada Terbuka Jerman dari 26 Februari hingga 3 Mac ini,” kata Peng Soong kepada Bernama selepas perlawanan itu.

Menurutnya, penting untuk mereka mempunyai jurulatih yang dapat membimbing ketika mereka beraksi di dalam gelanggang.

Sementara itu, Tontowi-Liliyana akan berdepan pasangan nombor satu dunia, Zheng Siwei-Huang Yaqiong dari China di pentas final esok.

Dalam pada itu, cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki tamat di peringkat suku akhir dengan kekalahan Lee Zii Jia manakala beregu lelaki, perseorangan dan beregu wanita gagal melepasi puisngan awal pada kejohanan bernilai AS$350,000 (RM1.449 juta) itu. – Bernama

Komen anda