Cabaran sengit dari Amerika Syarikat

63
Tiga atlet boling negara yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Record, (dari kiri) Tun Ameerul Luqman Al-Hakim Tun Hasnul Azam, Rafiq Ismail dan Adrian Ang selepas meraih pingat emas pada Kejohanan Boling Lelaki Dunia 2018 di Hong Kong pada sidang media berkenaan Kejohanan Boling Malaysia Terbuka Antarabangsa Ke-40 di sebuah hotel hari ini.

ATLET tenpin boling negara, Muhammad Rafiq Ismail mahu berada di podium pada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia 2019 sekali gus mengumpul mata untuk kelayakan ke Sukan SEA Filipina, Disember ini.

Muhammad Rafiq juara bertahan Terbuka Masters Lelaki yang diraih buat julung kalinya dua tahun lalu berkata, beliau menjangkakan menerima cabaran sengit daripada pemain tenpin boling dari Amerika Syarikat.

“Cabaran kali ini memang agak sengit dengan kehadiran lebih ramai atlet handal, namun saya yakin mampu berada di podium. Sebagai tuan rumah, kita memang akan menerima tekanan namun kita juga memiliki kelebihan.

“Semua atlet negara berlatih di venue kejohanan dan sebelum kejohanan bermula pun, kita sudah dapat gunakan gelanggang tersebut berbanding atlet negara luar yang akan turut serta nanti. Saya harap kita dapat gunakan peluang dan kelebihan ini dengan sebaik mungkin,” katanya kepada media pada sidang media pelancaran kejohanan itu.

Kejohanan edisi ke-40 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM405,750 itu dijadualkan pada 26 April hingga 4 Mei di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid dan akan disertai 18 negara termasuk Malaysia.

Antara pemain boling tersohor dunia yang akan turut serta pada kejohanan itu ialah Dominic Barrett dari England, Sean Rash dan Kyle Troup dari Amerika Syarikat, Yannaphon Larpapharat dan Annop Arromsaranon (Thailand) dan beberapa nama besar lain.

Mengulas pemilihan atlet yang akan mewakili negara ke Sukan SEA 2019, Muhammad Rafiq berkata, pada penganjuran kali ini, ia hanya akan melibatkan empat pemain wanita dan empat pemain lelaki berbanding sebelum ini, enam pemain wanita dan enam pemain lelaki dipilih untuk mewakili negara.

Katanya, cabaran dan peluang untuk mereka dipilih ke Sukan SEA dilihat lebih sukar apabila terpaksa bersaing dengan lebih sengit.

“Pemilihan adalah berdasarkan ranking dalam Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) dan mata akan dikumpul melalui kejohanan yang kami sertai. Walaupun saingan lebih sengit, saya berharap mampu layak ke Sukan SEA nanti,” katanya.

Sementara itu, jurulatih kebangsaan, Ben Heng percaya anak didiknya masih mempunyai peluang untuk berada di podium Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia walaupun dengan kehadiran ramai atlet terbaik dunia.

“Beza kali ini ialah lebih ramai pemain terbaik dunia dijemput beraksi pada kejohanan ini terutamanya bagi kategori lelaki namun saya tetap rasa mereka boleh menang walaupun peluang semakin kurang dan cabaran lebih sengit.

Komen anda