Carlos: Real Madrid tak perlu rombak banyak

108

REAL Madrid disaran tidak melakukan rombakan terlalu besar dalam usaha memperkuatkan cabaran Los Blancos pada musim depan biarpun gergasi La Liga itu mempamerkan prestasi buruk musim lalu apabila melabuh tirai tanpa sebarang trofi.

Bekas bintang Real, Roberto Carlos berkata, beliau yakin dengan kemasukan tiga pemain baharu seperti Eden Hazard, Eder Militao dan Luka Jovic cukup untuk memperkasakan kembali cabaran kelab.

Menurutnya, ini ditambah dengan prestasi semasa penghujung musim selepas bekas pemain dan pengendali, Zinedine Zidane kembali semula ke Santiago Bernabeu.

“Zidane sebenarnya sudah memiliki skuad yang serba lengkap di setiap bahagiannya yang sebelum ini telah meraih beberapa kejuaraan domestik dan antarabangsa.

“Andai saya pengendali Real Madrid, saya tidak akan melakukan terlalu banyak perubahan terhadap susunan pemain sebaliknya akan menambahbaik beberapa kelemahan pasukan.

“Keluar masuk pemain dari kelab besar seperti Real Madrid satu perkara biasa, seorang pemain akan pergi, 80 peratus akan bertahan dan sebenarnya kelab ini sudah memiliki barisan serba lengkap,” katanya.

Pada masa sama bekas pemain pertahanan kental itu menyifatkan pembelian Hazard dan Jovic disifatkan sangat berbaloi bagi menggalas cabaran kelab berkenaan musim depan.

“(Luka) Jovic adalah pemain hebat. Dia memiliki musim yang sangat bagus dan dia datang dengan falsafah untuk mencipta kejuaraan bersama Madrid. Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepadanya. Siapa pun di Madrid dapat bermain dengan siapa pun dan dia akan mula bermain bersama Karim dan juga Eden [Hazard] yang saya percaya pembelian terbaik Real Madrid.

“Saya tidak sabar menyaksikan impak yang bakal diberikan pemain baharu untuk kelab ini musim depan,” jelasnya.

Komen anda