Cerese Osaka “sambar” Luqman

233

PENYERANG skuad  bawah 19 tahun (B-19), Luqman Hakim Shamsudin sah akan menjalani percubaan bersama kelab divisyen 1 Liga Profesional Jepun 1 (J-League 1), Cerezo Osaka bulan depan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia merupakan hasil perbincangan yang diadakan bersama wakil Cerezo dan Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd menyaksikan Luqman bakal diuji sebelum mengikat kontrak penyerang kelahiran Kelantan itu yang merupakan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

“InsyaAllah, Luqman akan ditempatkan di Cerezo dan jika lihat prestasinya ia sama seperti penyerang Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh Abdul Razak juga.

“Memang Jepun sudah nampak dari awal prestasinya yang sangat baik dan boleh menjalani latihan dan jadi penyumbang terbesar kepada negara tercinta pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja beliau di Osaka, Jepun sebentar tadi.

Cerezo yang pernah menjuarai Piala Liga Jepun dan Piala Emperor pada 2017 serta menamatkan saingan J-League 1 di tangga ketiga pada musim yang sama difahamkan terpikat dengan kemampuan Luqman selepas pemain berkenaan dipilih sebagai Kesebelasan Utama Terbaik pada  kejohanan Piala Sanix 2019, Mac lalu.

Untuk rekod, Luqman, 17 mula mendapat perhatian ketika membantu skuad B-13 NFDP melakar sejarah muncul juara Piala Iber Costa del Sol di Sepanyol pada 2015 sementara turut tersenarai antara penjaring terbanyak kejohanan.

Perkara tersebut membuatkan dia terus meningkat naik selepas sentuhannya mendapat perhatian kelab-kelab luar terutamanya di Asia selepas meraih Anugerah Penjaring Terbanyak Kejuaraan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018.

Komen anda