Chong Wei adakan sidang media esok

196
CHONG WEI

TEKA-teki berhubung spekulasi mengenai persaraan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei bakal terjawab esok.

Menerusi satu jemputan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pemain berusia 37 tahun itu akan mengadakan satu sidang media khas di Menara KBS, Putrajaya pada 12.30 tengah hari.

Sidang media itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Jumaat lalu, media melaporkan Chong Wei yang juga bekas pemain nombor satu dunia dijangka membuat pengumuman berhubung masa depan kerjayanya, minggu ini.

Bagaimanapun, pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu menegaskan pengumuman hanya akan dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan BAM dan barisan jurulatih.

Beliau sudah sebulan tidak menjalani latihan sejak mengambil cuti pada penghujung April lepas bagi menjalani pemeriksaan susulan di Taiwan.

Ia bagi mencegah kanser hidung yang dihadapinya menyerang kembali selepas mendapat nasihat doktor.

Antara pencapaian besar Chong Wei yang terus diingati adalah pingat perak temasya Olimpik bermula di Beijing 2008, diikuti London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Beliau juga tiga kali muncul naib juara dunia bermula edisi 2011 di London, 2013 di Guangzhou dan 2015 di Jakarta.

Komen anda