Chong Wei belum mengalah!

331

JAGUH badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei tetap berkeyakinan dapat bersaing merebut slot ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, di sebalik peningkatan prestasi pemain muda.

Mengakui berdepan persaingan sengit khususnya daripada Lee Zii Jia dan pemain profesional, Liew Daren yang masing-masing menghuni ranking ke-28 dan 29 dunia, Chong Wei berkata, dia sedia memberikan cabaran kepada kedua-dua pemain itu, sekali gus menyambar tiket ke Tokyo.

“Jangan kata saya tidak layak (ke Sukan Olimpik). Sasaran saya adalah mahu beraksi pada Sukan Olimpik buat kali kelima. Apa saja boleh berlaku, hanya pemain terbaik akan layak ke Olimpik.

“Namun, jika saya tidak layak tidak mengapa kerana saya sudah empat kali beraksi di Olimpik (sejak edisi 2004). Zii Jia dan Daren tidak pernah beraksi di Olimpik. Jadi saya pasti mereka juga mahu layak.

“Semua orang ada peluang untuk layak, kita tidak boleh pandang rendah kemampuan pemain lain,” kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali itu kepada pemberita selepas menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, semalam.

Chong Wei yang kini berada di tangga ke-30 dunia memberi contoh kejayaan dua beregu negara pada Sukan Olimpik 2016 di Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang membuat kejutan apabila meraih pingat perak.

“Ketika itu skuad badminton dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya sasar satu pingat iaitu (menerusi) saya. Jadi jangan berputus asa. Dalam kejohanan besar, banyak pemain membuat kejutan,” katanya.

Pemain berusia 37 tahun itu turut memohon kepada semua pihak agar memberikan sokongan moral kepada pemain negara berbanding membebankan mereka dengan tekanan yang tidak perlu.

Dalam pada itu, Chong Wei mengesahkan dia akan membuat kemunculan semula pada saingan Terbuka Malaysia April depan selepas berehat panjang susulan kanser hidung yang dihidapinya.

Mengenai perkembangan latihannya, Chong Wei berkata, fokusnya ketika ini ialah meningkatkan semula kecergasan otot serta ketahanan fizikalnya.

“Tahun ini sangat penting untuk semua pemain kerana tumpuan adalah layak ke Sukan Olimpik. Jika tiada peningkatan dalam setiap kejohanan tahun ini, peluang untuk perbaiki ranking semakin sukar jadi pemain perlu tunggu empat tahun lagi untuk ke Olimpik.

“Jurulatih telah menerangkan mengenai kejohanan apa yang akan disertai pemain. Bermula Mei ini adalah paling penting untuk pemain mengumpul mata ke Sukan Olimpik. Pemain tidak boleh ambil mudah dalam apa saja kejohanan,” katanya. – Bernama

Komen anda