Chong Wei geram!

2167

ARENA Axiata, Bukit Jalil kelmarin bergemuruh seketika saat jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei membuat ‘penampilan istimewa’ ketika menyampaikan jambangan bunga kepada finalis acara perseorangan lelaki Malaysia Masters 2019 – Son Wan dari Korea Selatan dan Chen Long (China).

Sebaik berakhirnya majlis penyampaian hadiah itu, kelibat Chong Wei terus menarik tumpuan apabila mendapat tepukan gemuruh daripada para penonton tempatan dan luar negara yang hadir ke Arena Axiata, persis dia turun dari podium selaku sang juara Malaysia Masters 2019.

Ditanya apa yang sedang bermain dalam benak fikiran dan perasaannya ketika itu, Chong Wei menjawab: “Geram memang geram untuk kembali beraksi tetapi apa yang penting bagi saya sekarang adalah kesihatan.

“Saya memang mahu kembali secepat mungkin tetapi saya perlu mengikut nasihat doktor. Sekarang saya sudah kembali menjalani latihan dan diharapkan semuanya akan berjalan dengan lancar.”

Chong Wei memberitahu, dia juga sempat berbual dengan Chen Long ketika majlis penyampaian hadiah tersebut.

“Dia (Chen Long) mahu saya kembali (beraksi) secepat mungkin. Di dalam gelanggang kami musuh tetapi di luar kami kawan, malahan semua pemain kawan saya,” jelas Chong Wei.

Chen Long turut mengakui dia dan Chong Wei berbual mengenai ‘perseteruan’ semula mereka pada kejohanan akan datang.

“Chong Wei memiliki semangat juang yang tinggi. Saya memberitahu dia saya sudah tidak sabar berdepan dengannya pada Terbuka Malaysia April depan,” kata Chen Long.

Sebagai rekod, kali terakhir Chong Wei membuat penampilan di gelanggang kompetitif adalah pada saingan Terbuka Indonesia 2018, Julai lalu.

Chong Wei terpaksa berehat kira-kira enam bulan untuk menjalani rawatan di Taiwan ekoran kanser hidung dihidapinya. Biarpun belum ada sebarang pengesahan, Chong Wei dijangka kembali beraksi sebelum tempoh kelayakan Sukan Olimpik 2020 yang dijadualkan bermula Mei depan.

Komen anda