Chong Wei sedia bantu atlet negara bawa pulang emas pertama Olimpik

104
PUTRAJAYA, 13 Jun -- Pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (dua,kanan), Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (kiri) dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong (kanan) pada sidang media khas di Kementerian Belia dan Sukan hari ini. - - fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sedia untuk mencabar dirinya selepas dilantik menjadi Chef De Mission Olimpik Tokyo 2020.

Jelas Chong Wei, meskipun berdepan cabaran baharu yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini, namun beliau tetap optimis akan berikan sedaya upaya dalam misi membantu atlet membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik pertama negara.

"Tugas ini bukan mudah kerana pergi ke Olimpik sebagai atlet dan CDM adalah berbeza sama sekali.

"Tetapi saya janji untuk buat yang terbaik dalam memberi galakan kepada atlet kita meraih pingat emas pertama Olimpik.

"Saya akan lakukan apa yang termampu untuk bantu atlet negara yang akan beraksi di sana tahun depan," katanya.

Ditanya sama ada menyesal bersara tahun ini dan melupakan impiannya menebus kegagalan meraih pingat emas Sukan Olimpik pada dua edisi terdahulu, Chong Wei berkata istilah penyesalan itu tidak pernah wujud.

"Saya tak boleh katakan saya menyesal buat keputusan ini kerana bagi saya dan keluarga, kesihatan itu adalah lebih penting.

"Sejujurnya, saya bercadang untuk bersara tahun depan, iaitu selepas beraksi di Olimpik, tapi apa kan daya, selepas melalui rawatan, saya kena akur badan saya sudah tidak mampu untuk pulih seperti dahulu," ujarnya.

Chong Wei bagaimanapun melaungkan keyakinan pemain-pemain muda negara yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkannya mampu menghadiahkan sesuatu buat negara.

"Saya harap pemain-pemain muda ini tahu apa yang mereka mahukan. Kerana itu perkara yang paling penting untuk mereka terus berkembang menjadi pemain terbaik," katanya lagi.

Komen anda