City gugup sebelum berpesta gol ke atas Schalke

301
KEJAYAAN besar 7-0 atas kelab Jerman, Schalke 04 bukan sahaja melayakkan Manchester City ke suku akhir Liga Juara-Juara, bahkan kemenangan agregat 10-2 itu turut menyamai rekod jaringan terbesar pada peringkat kalah mati kempen Eropah tersebut.

Namun, di sebalik kemenangan bergaya itu, Pengurus City, Pep Guardiola sedikit kurang senang dengan prestasi anak-anak buahnya terutamanya pada babak pertama.

Guardiola berkata, City agak takut dan berhati-hati untuk bermain secara agresif memandangkan mereka hanya dapat gol pertama selepas 35 minit perlawanan berlangsung.

“Ia hasil yang cukup jelas. Agregat 10-2, itu mengagumkan untuk mara ke suku akhir tetapi bagi saya, kami tidak bermula dengan baik dalam perlawanan ini.

“Kami sedikit takut pada mulanya, namun selepas mendapatkan jaringan pertama, barulah nampak pemain-pemain sedikit bernafsu untuk beraksi lebih agresif,” katanya.

Bagaimanapun, Guardiola tetap gembira dengan apa yang dipamerkan The Citizens terutamanya selepas kehilangan beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan.

“Kami mempunyai ramai pemain yang cedera tetapi kami mempunyai ramai pemain yang boleh diharapkan.

“Semua pemain cuba membuktikan bahawa mereka mahu bermain dan layak diturunkan. Saya amat berpuas hati dan gembira kami mara ke suku akhir dengan cara seperti ini,” katanya.

Pada aksi di Stadium Etihad, awal pagi semalam, Sergio Aguero mendahului senarai penjaring City dengan meledak dua gol dan Leroy Sane menambah satu lagi gol sebelum berakhirnya tempoh 45 minit pertama perlawanan.

Raheem Sterling, Bernardo Silva, Phil Foden, dan Gabriel Jesus terus menambah duka Schalke pada babak kedua dengan menjaringkan empat lagi gol menjadikan City selesa melangkah ke suku akhir.

Komen anda