Corak permainan Gaya Malaysia mampu direalisasikan

92
Ahmad Shapawi

MAJLIS Sukan Negara (MSN) optimis corak permainan ala Malaysia atau Cara Malaysia dapat diterjemahkan menerusi DNA bola sepak Malaysia yang dilancarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, keberkesanan DNA itu yang dirangka khas demi memastikan kemajuan bola sepak negara bergerak seiring dengan perkembangan bola sepak moden dunia, akan dapat dilihat sepanjang tempoh menjelang 2030.

“Kita ada kurang daripada 12 tahun menuju 2030 dan kumpulan terbesar yang akan bersaing ataupun mewakili Malaysia pada waktu itu datangnya daripada pemain NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Negara) ataupun di Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD).

“Maknanya secara tidak langsung apa telah disediakan (DNA) hari ni, akan memberi satu kesan kepada prestasi keseluruhan pasukan kebangsaan pada 2030,” katanya ketika ditemui pada Karnival Bakat Kebangsaan Siri Satu di MSN di sini, hari ini.

Beliau turut yakin sasaran untuk melahirkan pemain yang membawa DNA tersebut pada 2030, selaras dengan kemuncak Peta Hala Tuju FAM F:30, dapat direalisasikan.

Pada masa sama, Ahmad Shapawi berkata MSN menyokong penuh usaha yang julung kali diperkenalkan FAM itu dan menyifatkan ia merupakan evolusi positif, dalam menghasilkan satu keseragaman sistem dan permainan cara bola sepak tempatan.

Beliau berkata DNA itu juga adalah pendekatan terbaik dalam memperkukuhkan lagi sistem pembangunan bola sepak sedia ada, di seluruh negara termasuk NFDP di AMD di Gambang, Kuantan.

“Ia (DNA) satu pelan strategik yang meletakkan satu hala tuju baharu, kepada pasukan kebangsaan menuju 2030 dan kita (MSN) memang bersama-sama FAM terlibat dalam membantu dari segi teknikal.

“DNA Bola Sepak Malaysia dengan DNA NFDP yang sedia ada lebih kurang sama…sebelum ini pun NFDP ada DNA tersendiri tetapi kini ia diperkukuhkan lagi dengan pendekatan FAM ini, dan NFDP menyokong penuh matlamat tersebut,” katanya.

Selasa lalu, FAM melancarkan DNA bola sepak negara sebagai rujukan bagi semua pihak memahami corak permainan mengikut acuan bola sepak sendiri.

Sambil menekankan formasi 4-3-3 sebagai asas permainan Malaysia, ia adalah manifestasi falsafah bola sepak yang turut merangkumi sistem kejurulatihan yang seragam merentasi peringkat umur bermula dari akar umbi sehingga elit.

Komen anda