COTA uji Hafizh Syahrin, rakan

2960

Permulaan mencabar Hafizh Syahrin

 

PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah dan rakan sepasukan Red Bull KTM Tech 3, Miguel Olivera dari Portugal hadapi kesukaran pada aksi pembukaan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat pada Jumaat.

 

Menurut laman web rasmi pasukan itu, walaupun ia merupakan kunjungan pertama mereka ke Circuit of the Americas (COTA) di Austin, Texas, Hafizh Syahrin dan Olivera berjaya menunjukkan peningkatan yang ketara.

 

“Kami selalu bermula sedikit terbelakang, kerana ini adalah kali pertama kami mencuba jentera di trek ini. Kami perlu kumpulkan beberapa data terlebih dahulu, untuk mantapkan aksi dalam FP2. Kami akan tingkatkan usaha, 110 peratus,” kata Hafizh Syahrin.

 

Beliau mengakui pada sesi latihan pertama ia adalah sukar berikutan keadaan trek yang tidak rata.

 

“Trek sangat berbonggol dan saya hilang keyakinan ketika membrek sebab jentera banyak bergerak. Kami buat beberapa perubahan dan pada waktu petang, saya rasa lebih baik. Kami masih perlu perbaiki semasa membelok.

 

“Saya telah maklumkan kepada pasukan saya mengenainya, jadi kami tahu apa yang perlu diperbaiki esok. Mungkin esok hujan, ia adalah baik bagi kami jadi kami berpeluang menguji jentera kami dalam keadaan cuaca begini,” katanya.

 

Hafizh Syahrin mencatatkan masa pusingan terpantas dua minit dan 6.850 saat (s), 2.993s di belakang pendahulu, Spaniard Maverick Vinales dari Monster Energy Yamaha MotoGP (2:03.857s), dan berada di kedudukan terakhir manakala rookie MotoGP rookie, Olivera  mencatatkan masa pusingan terbaiknya 2:06.276s, menduduki tempat ke-21.

 

Sementara itu pasukan MotoGP Malaysia yang pertama, Petronas Yamaha Sepang Racing Team (Petronas Yamaha SRT) bermula positif  di Austin dengan pelumbanya menyempurnakan hari pembukaan dalam kedudukan 10 teratas.

 

Rookie Tahun 2018, Franco Morbidelli dari Itali menduduki tempat kelapan dengan catatan masa 2:04.548s, yang dicatat pada pusingan terakhir daripada 15 pusingan yang dilakukan.

 

Berada di belakangnya, rakan sepasukan Fabio Quartararo dari Perancis di kedudukan kesembilan dengan catatan masa terbaik 2:04.589s yang dilakukan dalam 16 pusingan semasa sesi latihan FP2.

Komen anda