Crouch akhirnya gantung but selepas 23 tahun

72

PENYERANG tinggi lampai, Peter Crouch mengumumkan persaraan selepas 23 tahun kariernya dalam sukan bola sepak.

Pengumuman itu dilakukan Crouch pada usia 38 tahun semalam sambil menegaskan ia keputusan sukar yang pernah dibuat dalam hidupnya.

Berketinggian enam kaki tujuh inci, Crouch mengabdikan kerjaya bola sepaknya di Liga Perdana Inggeris dan pernah bersama Liverpool dan Tottenham Hotspur selain mewakili England dalam dua edisi Piala Dunia pada 2006 dan 2010.

“Sudah 23 tahun saya bersiap untuk menghadapi detik ini tetapi saya sedar ia bukanlah yang sempurna. Sudah tiba masanya saya dirujuk sebagai bekas pemain bola sepak. Ia satu perjalanan yang luar biasa sejak saya berusia 16 tahun.

“Cita-cita saya adalah untuk beraksi sehingga berumur 40 tahun, jadi ia sesuatu yang menakutkan untuk mengucapkan perkataan ‘bersara’. Untuk membiasakan diri dengan peranan yang terhad, iaitu dimasukkan sebagai pemain gantian dalam baki 10 atau 15 minit permainan, adalah sukar diterima.

“Saya akan berumur 39 tahun pada Januari depan tetapi fizikal saya masih lagi cergas dan masih mampu untuk teruskan aksi. Cuma saya enggan lagi memainkan peranan dimasukkan hanya untuk menyambut bola tinggi.” katanya.
Crouch menandatangani kontrak profesional pertamanya pada 1998 di Spurs sebelum dipinjamkan ke Dulwich Hamlet dan kelab Sweden, Hassleholm.

Selepas meninggalkan Spurs buat kali pertama, Crouch menyertai Queens Park Rangers (QPR) sebelum menyertai Portsmouth dan Aston Villa dan kemudiannya dipinjamkan ke Norwich City.

Perpindahan Crouch ke Southampton pada musim 2004-2005 dengan rekod 12 gol Liga Perdana Inggeris (EPL) membuatkan Liverpool tertarik untuk mendapatkan khidmatnya.

Dia kekal selama tiga tahun di sana sebelum beralih ke Portsmouth dan kembali ke Spurs sebelum menutup kerjayanya di Burnley.

Komen anda