Cub Prix: Azroy rangkul gelaran kedua

79

PELUMBA Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar meneruskan rentak cemerlang apabila meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam kategori CP150 setelah menjuarai perlumbaan Pusingan Kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Batu Kawan, Pulau Pinang, semalam.

Azroy yang sebelum ini memenangi perlumbaan pusingan pembukaan di Jasin, Melaka bermula cemerlang untuk mendahului kedudukan melepasi Md Akid Aziz yang memulakan perlumbaan dari petak pertama.

Akid yang kemudiannya cuba untuk mengejar terpaksa menarik diri setelah terjatuh seawal pusingan pertama manakala Md Helmi Azman yang ketika itu sedang mendahului perlumbaan mengalami masalah jentera pada pusingan kedua, sekali gus membuka ruang selesa buat Azroy untuk terus menguasai perlumbaan.

Juara bertahan, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha–CKJ Racing) mengekori di belakang, namun Azroy bijak menutup ruang, sekali gus muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat.

Azroy menamatkan 20 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 17’34.904 saat (s) diikuti Ahmad Afif dengan masa 17’35.080s. Pelumba senior, Ahmad Fazrul Sham bangkit menebus kehampaan pusingan pertama apabila melengkapkan kedudukan podium dengan masa 17’45.922s.

Dalam saingan CP115 menyaksikan Md Syafiq Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) yang memulakan perlumbaan dari petak pertama berjaya mendominasi 15 pusingan untuk muncul juara dengan masa keseluruhan 13:45.133s.

Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing) yang bermula dari petak kelima muncul naib juara dengan masa keseluruhan 13:45.224s. Duo Motul Yamaha YY Pang, Md Adib Rosley dan Md Fareez Afeez Abd Rahman menamatkan saingan di kedudukan ketiga dan keempat.

Dalam kategori WIRA, Md Aliff Danial M Asri (PETRONAS Sprinta Yamaha–31 Racing) muncul juara diikuti Md Sharul Ezwan M Sharil (AFB TECH Racing) dan rakan sepasukan Md Aliff, Md Haziq Rosmaza.

Komen anda