Cyfora 2019 kembali dan akan berlangsung lebih meriah

275
KEJOHANAN lumba basikal amatur, Cyfora akan kembali kali ini dengan penganjuran yang lebih gah berbanding tahun lalu.

Menurut kenyataan penganjur, saingan kali ini menjadi lebih hebat apabila mendapat penyertaan yang menggalakkan bukan sahaja daripada peserta dalam negara tetapi juga luar negara seperti Singapura dan Indonesia.

“Bagaimanapun, penganjur hanya mengehadkan 300 peserta setiap siri, untuk memastikan keselamatan peserta serta kualiti perlumbaan berada di tahap terbaik, supaya dapat diiktiraf penganjurannya standing kejohanan bertaraf antarabangsa.

“Konsep berpasukan ditetapkan dalam perlumbaan ini, menjadikan perlumbaan ini sesuatu yang unik kerana setiap pasukan perlu mencari pelumba dari umur bawah 23 tahun sehingga 45 tahun ke atas, di mana wakil dari setiap kategori perlu melengkapkan perlumbaan di posisi terbaik untuk dinobatkan sebagai pasukan pemenang.

“Objektif perlumbaan ini ialah untuk mencungkil bakat baru serta menjadi platform awal pelumba amatur mengenali selok-belok perlumbaan sebelum terjah ke peringkat sebenar,” kata kenyataan tersebut.

Cyfora yang yang berkonsepkan lapan sepasukan telah dianjurkan sejak 2005 yang mana ia dianggap satu kejohanan yang cukup unik kerana hanya membenarkan penyertaan pelumba amatur tanpa penglibatan pelumba profesional seperti yang bertanding dalam Sukan Malaysia (Sukma), pelumba negara dan juga pelumba yang mewakili pasukan benua.

Sama seperti tahun lalu, tiga siri perlumbaan akan diadakan dengan siri pertama akan berlangsung pada 7 April 2019 di Jasin, Melaka.

Untuk rekod, tahun lalu kejohanan ini berjaya menarik minat 26 pasukan dari Malaysia dan Singapura yang mana ia tiga siri perlumbaan itu dimenangi GBN, Lembek Lutut Cycling dan Army Bvvret Cycling Team.

Komen anda