Daikin lonjak semangat tiga atlet negara

47

DAIKIN Malaysia (Daikin) tampil meneruskan penajaan kepada jaguh lumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang serta gandingan beregu badminton campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying.

Pengurus Besar Daikin Malaysia Sales & Services Sdn. Bhd. (DMSS), Lawrence Song Yew Beng berkata, penajaan itu diteruskan bagi mempromosikan amalan gaya hidup sihat selaras dengan usaha syarikat itu dalam menggunakan teknologi hijau.

“Atlet-atlet ini adalah Duta Daikin dan kami percaya dengan menaja mereka, masyarakat akan menyedari bahawa kami bukan sekadar jenama penyaman udara biasa tetapi jenama yang membawa mesej kepentingan menjalani kehidupan yang lebih sihat.

“Selain memberi fokus dalam penghasilan produk yang tidak menyumbang kepada pemanasan global, Daikin juga menginspirasikan masyarakat untuk memilih penggunaan penyaman udara yang lebih mesra alam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelantikan Duta Daikin di Daikin Malaysia Sdn. Bhd. di Sungai Buloh hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Serantau Daikin Asian Emerging District, Fang Yuan dan Ketua Pegawai Operasi Daikin Malaysia Sdn. Bhd., Ooi Cheng Suan.

Sebagai rekod, Azizulhasni mula dilantik sebagai Duta Daikin pada 16 Februari 2017, sekali gus menjadi atlet kedua negara dilantik sebagai duta selepas Peng Soon-Liu Ying.

Azizulhasni atau lebih terkenal dengan gelaran The Pocketrocketman melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai pelumba basikal pertama negara meraih pingat di pentas Sukan Olimpik hasil kejayaannya meraih gangsa acara keirin pada edisi 2016 di Brazil.

Pada temasya Olimpik yang sama, Peng Soon-Liu Ying berjaya meraih pingat perak selepas tewas di tangan beregu handalan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir di pentas final.

Dalam pada itu, Azizulhasni berkata, Daikin yang juga syarikat penyaman udara dari Jepun cukup komited dalam memberi sokongan kepada barisan atlet negara.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Daikin kerana mengambil inisiatif ini untuk memberi sokongan kepada atlet tempatan negara khususnya bagi mereka yang sedang menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan besar seperti Sukan Olimpik 2020 diJepun,” katanya.

Komen anda