Dharma Raj puas hati

113
Untitled5

PENGENDALI skuad hoki wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah gembira dengan prestasi yang dipamerkan anak buahnya apabila mengakhiri kempen Kejohanan Siri Final Wanita FIH di tempat ketiga selepas menewaskan Republik Czech 3-0 di Kelab Hoki Banbridge, Ireland, semalam.

Menurutnya, Malaysian Tigress diletakkan sebagai pilihan kelima dalam kejohanan tersebut, namun membuktikan keunggulan apabila berjaya menempatkan diri dalam tiga pasukan terbaik kejohanan.

"Berada di kedudukan ketiga dengan ranking kami pada kedudukan ke-22 sememangnya sesuatu yang boleh dibanggakan dan mengembirakan saya. Ia juga menjadi pemangkin semangat untuk pemain beraksi lebih cemerlang selepas ini.

"Sudah tentu saya mengharapkan agar ranking negara akan naik selepas kita menang beberapa perlawanan membabitkan pasukan yang berada di ranking lebih baik daripada kita," katanya.

Dalam perlawanan playoff tempat ketiga dan keempat itu, penyerang Hanis Nadiah Onn meletakkan Malaysia di hadapan menerusi jaringan padang pada minit ke-11, sebelum Fazilla Sylvester Silin menggandakan jaringan pada minit ke-34 ke atas Republik Czech yang menduduki ranking ke-19 dunia.

Malaysian Tigress mendapat gol ketiga setelah Nur Amirah Shakirah Zulkifli menerima hantaran Nor Faizah Sayuti dan melepasi penjaga gawang Barbora Cechakova sebelum memukul bola menerjah jaring pada minit ke-60.

Mengulas mengenai kegagalan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Muhammad Dharma Raj tidak mahu terus dibelenggu kekecewaan tersebut selain menyifatkan pemainnya sudah memberikan aksi terbaik ketika menentang Korea Selatan yang berada di ranking ke-11 dunia.

"Sebelum turun pada perlawanan kita tahu yang Korea adalah pasukan lebih mantap, pemain sudah memberikan yang terbaik. Saya tetap berpuas hati dengan persembahan pemain saya," katanya.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah layak ke Sukan Olimpik sejak acara hoki wanita diperkenalkan pada temasya Moscow 1980.

Komen anda