Disiplin kena nombor satu!

2792

ZURAIMEE ZAINAL

KETIKA peminat dan penyokong badminton negara berbangga dengan pencapaian beregu muda, Aaron Chia-Soh Wooi Yik muncul naib juara Seluruh England baru-baru ini, timbul persoalan mengenai masa depan dua gandingan berpengalaman – Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Kedua-dua beregu profesional negara itu dilihat gagal menyerlah pada kejohanan kali ini yang menyaksikan V Shem-Wee Kiong terkandas di suku akhir sementara Peng Soon- Liu Ying pula tersingkir seawal pusingan kedua.

Bagi legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek, beliau menyifatkan cabaran besar bagi seorang pemain yang memilih haluan bergelar profesional adalah keupayaannya mengekalkan tahap disiplin.

Menurutnya, rutin seorang pemain profesional itu akan berubah secara total apabila mereka tidak lagi berada di bawah kendalian Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Ada baik dan buruk bergelar pemain profeisonal. Dari aspek penajaan, mungkin ia satu kelebihan berbanding ketika mereka berada di bawah persatuan.

“Cuma buruknya bergelar pemain pro ini adalah berkait dengan disiplin yang mana lebih merujuk kepada aspek latihan.

“Andai dulu ketika di bawah BAM, nak tak nak mereka kena datang latihan setiap hari mengikut jadual ditetapkan, inilah yang menjadikan prestasi mereka sentiasa konsisten.

“Tetapi selepas bergelar pro, mungkin jadual latihan berubah mengikut kesesuaian dan tidak terikat terlalu ketat,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Mengulas mengenai rakan sepelatih (sparring), Razif berkata, perkara berkenaan bersifat subjektif apabila memasuki dunia profesional berbanding ketika di bawah BAM yang menyediakan segala kemudahan bentuk latihan.

“Kalau pemain sparring hendak belajar mereka akan datang bermain, tapi andai tidak menguntungkan, mereka tidak akan datang bermain.

“Situasi ini secara tidak langsung akan menyebabkan stamina pemain pro pudar disebabkan tiada latihan yang cukup,” jelasnya.

Razif menambah, masalah itu akan berlarutan seandainya tiada individu berkebolehan atau berkelayakan yang memantau mereka setelah memasuki dunia profesional.

“Main semua orang boleh main tapi mereka memerlukan seseorang untuk push mereka, bukan hanya perkara berkait di dalam (gelanggang) tetapi juga luar gelanggang.

“Saya percaya mereka merupakan pemain berpengalaman dan bagus beraksi di gelanggang termasuk juga dari segi penajaan pun tiada masalah.

“Cuma mungkin aspek disiplin kena diperbaiki dandiperkemaskan supaya stamina lebih konsisten seterusnya menyerlah pada setiap kejohanan disertai,” katanya yang juga bekas juara Seluruh England.

Komen anda