Djokovic ‘dalang’ kontroversi?

90

PERJALANAN pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic dalam saingan Terbuka Perancis Roland Garros akhirnya terhenti pada separuh akhir.

Ini selepas pemain kelahiran Serbia itu tewas dalam pertarungan panjang lima set kepada Dominic Thiem dalam aksi penentuan slot ke final di Philippe Cartier Arena semalam.

Terdahulu, perlawanan separuh akhir itu dicemari kontroversi apabila perlawanan yang dijadual berlangsung Jumaat terpaksa ditangguh sehari atas keputusan pengadil kejohanan, Remy Azemar.

Keputusan itu mendapat kritikan ramai pihak termasuk bekas pemain Perancis dan pemenang Wimbledon, Amelie Mauresmo yang menyifatkan keputusan berkenaan tidak masuk akal.

Timbul ura-ura mengatakan Djokovic menjadi antara punca perlawanan itu ditangguhkan apabila ada yang melihat pemain berusia 32 tahun itu meninggalkan gelanggang lebih awal, namun dinafikan pengarah kejohanan, Guy Forget.

Bercakap di sidang media selepas aksi tersebut, Djokovic telah dipaksa menjawab soalan daripada wartawan.

Ketika ditanya sama ada beliau gembira perlawanan itu ditangguhkan sehari, Djokovic bagaimanapun hanya mampu memberikan jawapan acuh tak acuh.

“Saya tidak tahu. Saya memang tidak tahu apa-apa. Anda boleh tanya mereka.

“Saya hanya meninggalkan gelanggang selepas mendapat tahu mereka menangguhkan perlawanan untuk hari itu (Jumaat),” katanya.

Bagaimanapun, kontroversi itu berjaya dileraikan pemenang dua kali Terbuka Perancis, Jim Courier yang mendedahkan beliau mengetahui punca sebenar perlawanan itu ditangguhkan.

Jelasnya, beliau telah bercakap dengan staf kejurulatihan Thiem pada hari tersebut dan mendapati Djokovic tidak mempengaruhi sebarang keputusan.

“Apa yang berlaku ialah 10 minit sebelum perlawanan, Thiem dan Djokovic ada di bilik persalinan dan pengarah kejohanan bersama pengadil telah berjumpa mereka.

“Mereka telah diberitahu mengenai keadaan cuaca ketika aksi mereka dijadual berlangsung. Dijangka hujan akan berlaku pada sebelah malam dan memberi cadangan untuk mengubah waktu perlawanan pada keesokan hari.

“Kedua-dua pemain ada di situ dan mereka telah bersetuju,” katanya.

Komen anda