‘Doa saya moga Chong Wei capai impian ke Tokyo 2020’

1164

PRESIDEN Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Poul-Erik Hoyer Larsen berharap jaguh negara Datuk Lee Chong Wei akan kembali beraksi dalam kejohanan kompetitif secepat mungkin bagi merealisasikan impiannya untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

“Harapan dan doa saya untuk Chong Wei mencapai impiannya dan saya tahu keazamannya untuk beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Setulus hati, saya harap beliau akan mencapainya. Saya faham keadaan sukar yang dilaluinya dan ingatan saya sentiasa bersamanya dalam usaha beliau untuk layak ke Tokyo,” katanya kepada ketika ditemui pada Sukan Olimpik Khas Musim Panas Sedunia 2019, di sini hari ini.

Chong Wei, 37, terpaksa berehat panjang selama lapan bulan selepas disahkan menghidap kanser hidung pada Julai tahun lalu.

Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu ketika ini berada di Taiwan bagi menjalani pemeriksaan kesihatan bagi membolehkan beliau membuat kemunculan semula dalam kejohanan antarabangsa bermula pada Terbuka Malaysia dari 2 hingga 7 April ini.

Tempoh kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 202 akan bermula secara rasmi pada 1 April 2019 hingga 26 Apri 2020.

Semasa tempoh berehat, ranking Chong Wei jatuh ke tangga ke-41 dunia dan pemain itu perlu kembali dalam saingan kompetitif memandangkan hanya 38 pemain ranking terbaik dunia layak untuk beraksi dalam acara perseorangan lelaki pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Terdahulu, BWF telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Sukan Olimpik Khas untuk membantu antara lain akses kepada sumber pembelajaran percuma dan kejurulatihan kepada pemain kanak-kanak dan dewasa yang mempunyai masalah intelektual.

Pada majlis di Pusat Pameran Kebangsaan Abu Dhabi (ADNEC) di sini, Mou tersebut ditandatangani oleh Poul-Erik manakala Sukan Olimpik Khas diwakili oleh Naib Presiden Kanan Bagi Sukan dan Kesihatan, Drew Boshell.

Badan induk badminton dunia itu turut melatih 10 pemain kurang upaya intelektual dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai pengadil garisan pada temasya Sukan Olimpik Khas yang sedang berlangsung di sini serta dijadual menjadi pegawai pertandingan bagi acara badmionton peringkat dunia di Dubai tahun depan.

Majlis itu turut dihadiri oleh bekas pemain nombor satu dunia, Peter Gade dari Denmark dan bekas pemain wanita nombor satu dunia,Wang Yihan dari China. – Bernama

 

Komen anda