Dollah tak rela lihat Pahang jauh ditinggalkan JDT

142
FOTO: Arif Karim/CSN Sports Talk

KETUA Jurulatih Pahang, Dollah Salleh gembira dengan kebangkitan dipamerkan pemainnya ketika ketinggalan satu gol untuk menewaskan PKNS FC 2-1 di Stadium Shah Alam semalam.

Katanya, kemenangan itu amat penting bagi membolehkan skuad Tok Gajah tidak keciciran mata dan terus memberi tekanan kepada pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Sebenarnya naluri saya kuat mengatakan kami boleh menang dalam perlawanan ini. Tetapi bila dah nak masuk penghujung perlawanan memang agak risau sikit.

“Tetapi dengan corak permainan yang lebih mantap dan tersusun di separuh masa kedua, kami dapat menutup segala ruang kosong untuk PKNS dan berjaya mengutip tiga mata penting.

“Memang dari awal lagi saya sudah pesan supaya pemain berikan habis-habisan supaya kita tidak ketinggalan mata yang jauh dengan JDT,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Dickson Nwakaeme dan Ze Love menjadi wira Tok Gajah apabila menjaringkan dua gol pada setiap babak untuk memadam kelebihan satu gol awal PKNS yang dijaringkan Chan Vathanaka.

Dollah berkata, sekembalinya Nwakaeme bersama pasukan jelas nampak perbezaan pada jentera serangan pasukannya.

“Alhamdulillah, pemain mempamerkan corak permaianan yang sata harapkan. Nampaknya kemasukan semula Dickson memang nampak berbeza corak permainan kita, cuma mungkin ada sedikit kelemahan di barisan tengah yang perlu diperbaiki,” katanya.

Mengulas soalan wartawan mengenai tindakannya ‘menyimpan’ pemain penting seperti Nor Azam Azih dan Saddil Ramdani di bangku simpanan, Dollah menegaskan beliau mempunyai hak sebagai jurulatih untuk menentukan kesebelasan utama yang akan diturunkan.

“Susah nak jawab soalan ini…Saya rasa, kita sebagai jurulatih tahulah bila nak turunkan pemain yang ada. Bila saya nampak ada pemain dah letih di atas padang barulah kita buat pertukaran…Bukan tanya kenapa. Kalau tanya kenapa susahlah jadi jurulatih,” ujarnya.

Komen anda