Dominasi Mercedes berakhir?

382

Bekas juara dunia, Fernando Alonso percaya dominasi pasukan Mercedes pada perlumbaan Formula 1 (F1) akan berakhir tidak lama lagi.

Alonso yang juga juara dunia F1 dua kali membuat penampilan terakhir di Abu Dhabi pada November tahun lalu sebelum membuat keputusan menyertai perlumbaan kereta tahun ini.

Biarpun telah meninggalkan arena F1, Alonso berkata, dia mengikuti rapat perkembangan terbaharu perlumbaan F1 musim ini termasuk penampilan semula Robert Kubica dan pemandu muda Ferrari, Charles Leclerc.

Pada masa sama, Alonso juga mula membayangkan dominasi Mercedes akan berakhir selepas mereka ternyata sukar dicabar pasukan lain sejak era V6 hibrid pada musim 2014.

"Saya mengikuti perkembangan Kubica, ceritanya cukup mengagumkan. Sejak beberapa bulan lalu, Kubica menunjukkan perkembangan yang positif dan kehadirannya jelas sekali memberi impak.

"Kemudiannya, Leclerc di Ferrari. Dia masih muda, bijak dan berbakat. Saya jangka Leclerc mampu memberikan saingan sengit kepada barisan pemandu utama musim ini.

"Saya tidak pasti jika Mercedes mampu terus menguasai perlumbaan ini (F1). Saya rasakan detiknya (berakhir dominasi Mercedes) semakin hampir," jelas Alonso.

Alonso yang meninggalkan F1 selepas 17 tahun bergelumang dalam perlumbaan tersebut kini dalam misi menjadi pemandu kedua dalam sejarah permotoran memenangi 'Triple Crown of Motorsport' melibatkan Grand Prix (GP) Monaco, 24 Jam Le Mans dan Indianapolis 500.

Pada Jun tahun lalu, Alonso memenangi perlumbaan 24 Jam Le Mans dalam penampilan pertamanya dalam saingan di Litar de La Sarthe, sekali gus menghampiri gelaran tersebut.

Kejayaan itu meletakkan Alonso hampir dengan rekod pemandu Britain, Graham Hill yang telah melengkapkan 'Triple Crown of Motorsport'.

Setakat ini, pelumba berusia 37 tahun itu telah memenangi dua gelaran GP Monaco dan kini mengintai kejuaraan Indianapolis 500 yang masih di luar jangkauannya.

Dalam pada itu, Alonso yang memenangi gelaran dunia F1 ketika bersama pasukan Renault pada 2005 dan 2006 menjelaskan, dia masih belum 'menutup pintu' hatinya untuk kembali menggegar F1.

"Ketika ini, saya mengharungi cabaran baharu dan berpeluang mengejar sasaran yang ditetapkan manakala dalam F1, tiada peluang untuk saya melakukannya.

"Saya tidak ada apa-apa perancangan pada tahun 2020. Sudah tentu merangkul kejuaraan dunia (F1) buat kali ketiga merupakan satu detik yang cukup hebat," jelasnya.

Komen anda