Dovizioso, Ducati masih ‘selamat’

257
 KEPUTUSAN mengenai protes empat pasukan ke atas pasukan Ducati dan pelumbanya, Andrea Dovizioso akan dimuktamadkan pada penghujung bulan ini.

Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) dalam satu kenyataan mengesahkan Mahkamah Rayuan MotoGP akan membuat keputusan sebelum perlumbaan Grand Prix (GP) Argentina, 31 Mac ini bagi menentukan sama ada kemenangan yang diraih Dovizioso pada GP Qatar, Ahad lalu akan ditarik balik atau tidak.

“Keputusan GP Qatar masih kekal, namun ia bergantung kepada keputusan muktamad dari Mahkamah Timbang Tara MotoGP,” kata FIM.

Sebelum ini, empat pasukan – Honda, Suzuki, Aprilia dan KTM tampil melakukan protes kepada Steward MotoGP Qatar mengenai satu alat di bahagian ‘swingarm’ di belakang jentera Ducati yang ditunggang Dovizioso bersama rakan sepasukannya, Danilo Petrucci dan Jack Miller (Pramac Ducati).

Protes itu tercetus apabila terdapat perbalahan pendapat berpunca daripada penggunaan ‘sayap’ di bahagian depan tayar belakang jentera Ducati, yang didakwa pengeluar Itali itu sebagai alat untuk penyejukan tetapi pesaing lain menganggap ia membantu kepada sistem aerodinamik.

Bagaimanapun, protes itu ditolak Steward MotoGP Qatar dan membenarkan empat pasukan terbabit membuat rayuan ke Mahkamah MotoGP yang akan diadili tiga panel.

Pada saingan di Litar Antarabangsa Losail hujung minggu lalu, Dovizioso muncul juara dua kali berturut-turut GP Qatar selepas menewaskan pelumba sensasi Repsol Honda, Marc Marquez dengan kelebihan 0.023 saat.

Komen anda