Dua tawaran menanti Hafizh Syahrin

187

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali percaya sekurang-kurangnya dua tawaran sedang menanti pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin.

 

 

Ketika dihubungi  Razlan berkata, beliau telah berjumpa Hafizh semalam selepas berita mengenai Red Bull KTM Tech 3 mengumumkan kontrak baharu dengan pelumba dari Afrika Selatan, Brad Binder.

 

 

“Memang kontrak Hafizh dengan Tech3 berakhir sehingga musim ini tetapi sudah ada tawaran menanti Hafizh, cuma dia perlukan masa untuk buat pilihan.

 

 

“Kalau kita tengok, dalam MotoGP tidak banyak tempat. Peluang dia agak sukar. Pasukan Petronas Yamaha SRT sendiri pun sudah tiada tempat, kami sudah ikat kontrak dengan pelumba sehingga 2020,” katanya yang juga Prinsipal Pasukan MotoGP negara, Petronas Yamaha SRT.

 

 

Spekulasi mengenai pasukan itu yang tidak akan mengikat kontrak dengan pelumba negara timbul apabila Hafizh masih tidak ditawarkan kontrak baharu oleh KTM berbanding rakan sepasukannya dari Portugal, Miguel Oliveira yang disahkan bakal menyertai grid kelas MotoGP bersama Tech3 bagi musim 2020.

 

 

Ia susulan prestasi yang dilihat tidak konsisten pada musim ini berbanding penampilan pertamanya musim lalu.

 

 

Selepas sembilan pusingan musim ini, pelumba berusia 25 tahun itu hanya mengutip tiga mata dengan meraih penamat ke-14 di GP Perancis, Mei lalu dan ke-15 di Litar Assen pada Jun.

 

 

Pertukaran jentera kepada KTM turut memainkan peranan kepada prestasi Hafizh musim ini menyaksikan beliau dan pasukan masih dalam proses ‘mengenali’ jentera KTM RC16 selepas 20 tahun bersama Yamaha.

 

 

Dalam pada itu, Razlan berkata pihak SIC sedia membantu Hafizh jika pelumba negara mahu meneruskan karier dalam arena permotoran, sama ada dalam saingan MotoGP ataupun Moto2.

 

 

“Saya mahu peminat sukan permotoran sabar dan tunggu keputusan daripada Hafizh…beri masa kepada dia. Lagipun sekarang tempoh bercuti, memang ramai pelumba akan bertukar sana-sini (pasukan).

 

 

“Sekiranya Hafizh perlukan pertolongan daripada SIC, kita akan bantu dia untuk kekal dalam saingan MotoGP ataupun turun ke Moto2,” katanya ketika diminta mengulas mengenai status Hafizh dalam arena permotoran.

Komen anda