Ducati kena bersabar: Dovizioso

75

DUCATI perlu bersabar untuk membuat keputusan menentukan susunan pelumba mereka untuk musim 2020, kata pelumba utamanya, Andrea Dovizioso.

Dovizioso berkata demikian memandangkan sudah ada ura-ura mengatakan Ducati bakal mengumumkan pelumba baharu yang akan memperkuatkan pasukan itu musim depan.

Jelas Dovizioso lagi, dengan prestasi cemerlang Danilo Petrucci yang menjuarai MotoGP Itali minggu lalu, Ducati perlu mempertimbangkan semua keputusan yang sedang ataupun sudah dibuat mereka bagi menentukan hala tuju pasukan musim depan.

“Daripada apa yang saya tahu dan faham, kontrak baharu untuk musim depan tidak akan diputuskan dengan segera.

“Saya yakin Ducati masih mampu bersabar dan menunggu lebih lama untuk membuat keputusan.

“Saya sangat berharap keputusan itu tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana masih ada banyak perlumbaan yang boleh mempengaruhi segala keputusan mereka selepas ini,” katanya.
Sebelum ini, Petrucci dikatakan menjadi antara pelumba yang berkemungkinan disingkirkan oleh kerana prestasi turun naiknya.

Namun musim ini, rakan sepasukan Dovizioso itu telah berjaya menunjukkan persembahan menakjubkan dengan menduduki podium di Le Mans (Perancis) dan seterusnya menewaskan Marc Marquez untuk muncul juara di Mugello (Itali).

Dikatakan tempat Petrucci yang hanya berbaki kontrak selama semusim di Ducati bakal digantikan oleh Jack Miller yang beraksi cemerlang bersama pasukan satelit Ducati, Pramac Ducati.

Sementara itu, Petrucci ketika memenangi gelaran pertamanya musim ini di Itali berjanji untuk terus membantu pasukan mendapatkan keputusan terbaik.

Antara misi besar pelumba yang digelar Petrux itu ialah membantu Dovizioso memenangi gelaran juara dunia pertamanya dengan Ducati.

“Sasaran pertama saya ialah untuk memenangi perlumbaan dan kemudian saya akan cuba membantu Dovizioso menewaskan Marquez dalam pemburuan gelaran juara dunia MotoGP musim ini,” katanya.

Komen anda