Eat Right to Play Right anjuran Zurich Malaysia perkenalkan kategori perempuan

217

KEJOHANAN Bola Sepak Belia Eat Right to Play Right (ERTPR) anjuran Zurich Malaysia bermula dengan jayanya dengan pengenalan kategori khusus pasukan perempuan.

Ini bakal menggalakkan perkembangan dan minat lebih banyak pasukan perempuan untuk menyertai pertandingan bola sepak kompetitif.

Kejohanan yang berlangsung di Institut Latihan Perindustrian Jitra ini terbuka kepada empat kumpulan umur – Bawah 8, Bawah 10, Bawah 12 Lelaki dan Bawah 12 Perempuan. Sejumlah 39 pasukan bersaing dalam siri pertama pertandingan ini.

Daripada kesemua pasukan ini, terdapat tiga pasukan perempuan daripada Sekolah Kebangsaan Sri Jerai (dua pasukan), dan Sekolah Kebangsaan Bandar Puteri Jaya (satu pasukan) yang bertanding.

Akhirnya pasukan daripada SK Sri Jelai B dinobatkan sebagai johan setelah menunjukkan kecekalan dan semangat berpasukan yang tinggi untuk mengatasi lawan mereka.

Kemenangan ini juga melayakkan mereka bertanding pada pusingan akhir pada Disember nanti.

Iman Izzah Umairah, 10, dan rakan sepasukan, Nur Batrisyia Humairah, juga 10, daripada SK Sri Jerai B amat teruja menggenggam kemenangan selepas wisel akhir dibunyikan.

“Kami amat teruja apabila mendengar Kejohanan Bola Sepak Belia ERTPR ini membuka kategori perempuan buat pertama kali, dan kami tidak sabar untuk menyertainya.

“Kami suka bermain bola sepak dan berharap satu hari nanti dapat menjadi pemain profesional dan mewakili Malaysia ke kejohanan antarabangsa, bertanding dengan pasukan-pasukan lain yang tentunya hebat.

“Kami ingin membuktikan bahawa perempuan juga boleh mempunyai kerjaya yang hebat di dalam bidang bola sepak,” katanya.

 

Jurulatih mereka, Faizul Hasdi Zainol berkata, “Ianya satu langkah yang bagus dengan menerapkan kategori perempuan bagi Pertandingan ERTPR tahun ini, ia memberi peluang kepada bakal pemain muda kanak-kanak perempuan ini untuk bertanding.

“Ini merupakan pertandingan yang pertama kali diadakan di sini dan saya amat gembira dapat melatih pasukan perempuan khusus, dan bukan pasukan campuran.

“Semangat dan komitmen yang ditunjukkan mereka benar-benar menunjukkan keinginan mereka untuk berjaya.”

Faizul Hasdi menambah, “Ibu bapa tentunya gembira melihat tapak-tapak aktiviti yang direka untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan nutrisi yang tepat. Pemakanan sihat adalah penting bagi perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak ini.

“Saya bersyukur program ini memberikan peluang untuk kanak-kanak perempuan bertanding dan pada masa yang sama dapat mempelajari sesuatu yang berguna. Saya harap kategori ini akan diperkembangkan lagi pada masa depan.”

Kejohanan Bola Sepak Belia ERTPR ini akan menjelajah ke lima negeri sebelum bermulanya pusingan akhir pada Disember nanti.

Selepas pusingan di Kedah, kejohanan ini akan bergerak ke Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor dan Selangor, di mana pusingan akhir juga akan diadakan. Pendaftaran untuk menyertai pusingan di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor dan Selangor masih dibuka dan pasukan yang berminat boleh mendaftar di laman Facebook ERTPR Youth Cup

Kejohanan Bola Sepak Belia ERTPR Youth Cup ini antara aktiviti di bawah program komuniti ERTPR Zurich Malaysia. Berada di tahun kedua penganjuran, Kejohanan Bola Sepak Belia ERTPR ini direka bagi menggalakkan semangat kesukanan melalui bola sepak akar umbi selain mendidik komuniti tentang kepentingan nutrisi sihat.

Untuk sebarang maklumat terkini tentang ERTPR dan inisiatif tanggungjawab korporat Zurich Malaysia, sila layari www.zurich.com.my/csr atau laman Facebook www.facebook.com/ZurichMYS.

Komen anda