Eei Hui belum fikir calon pengganti Soon Huat

67

JURULATIH beregu campuran negara, Chin Eei Hui belum memikirkan mencari pengganti Goh Soon Huat untuk digandingkan dengan Shevon Lai pada masa ini.

Malah, beliau optimis pemain berusia 28 tahun itu akan pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan kembali ke gelanggang pertandingan untuk meneruskan pencarian slot ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

“Apa yang kita boleh buat adalah bersabar dahulu. Saya tidak fikir untuk cuba pemain lain untuk jadi pasangan Shevon. Shevon sendiri faham situasi yang dialami Soon Huat.

“Kita ada lagi tiga minggu sebelum Terbuka Indonesia. Kita masih berbincang dengan pakar fisioterapi mengenai keadaan Soon Huat,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara hari ini.

Selepas Piala Sudirman Mei lepas, gandingan Soon Huat-Shevon terpaksa menarik diri daripada Terbuka Australia ekoran Soon Huat mengalami kecederaan hamstring ketika latihan.

Ee Hui berkata, beliau belum mahu menekan butang panik ekoran gandingan ke-13 dunia itu tercicir daripada beberapa kejohanan untuk mengutip mata kelayakan Olimpik Tokyo.

Menurutnya, apa yang penting ketika ini adalah Soon Huat betul-betul pulih sepenuhnya daripada kecederaan sebelum kembali menjalani latihan serta menyertai kejohanan kerana tidak mahu kecederaan berulang kembali.

“Saya pun tidak mahu mendesak Soon Huat supaya segera pulih dan cepat jalani latihan dan masuk Terbuka Indonesia dan Jepun tapi kemudiannya cedera berulang lagi.

“Untuk Shevon, dia menjalani latihan seperti biasa dan memperkuatkan diri sendiri sementara menunggu Soon Huat kembali berlatih bersama,” katanya.

Difahamkan, Soon Huat kini sudah kembali menjalani latihan ringan kerana dilaporkan masih belum pasti tahap kecederaan yang dialaminya.

“Kondisinya tidak boleh kata sangat serius sebab kita sudah buat MRI serta ultrasound tapi belum nampak apa-apa. Cumanya, sekarang ini Soon Huat masih mengadu sakit,” katanya.

Soon Huat dibelenggu kecederaan selepas terpaksa menarik diri pada Terbuka Malaysia kerana mengadu mengalami sakit kepala dan kemudian menarik diri daripada Kejuaraan Asia di Wuhan, China kerana kecederaan paha.

Sementara itu, ditanya mengenai prestasi pasangan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula, Ee Hui berharap mereka akan melangkah ke pusingan yang lebih jauh dalam kejohanan yang akan datang.

“Dalam beberapa kejohanan sebelum ini, mereka agak konsisten. Saya harap mereka akan tingkatkan lagi prestasi dan lakukan kejutan,” katanya.

Pada Terbuka Australia baru-baru ini, Kian Meng-Pei Jing yang kini menduduki ranking ke-18 dunia gagal ke suku akhir selepas tewas kepada pasangan kelapan dunia dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet pada pusingan kedua.

Skuad negara akan menyertai Terbuka Indonesia pada 16 hingga 21 Julai sebelum ke Terbuka Jepun pada 23 hingga 28 Julai.

Komen anda