Elavarasan bimbing Cops

424
Kamarul Ariffin

Bekas pengendali Terengganu, PKNS FC dan Melaka United, E Elavarasan bakal menggalas jawatan Ketua Jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menggantikan Mohd Fauzi Pilus yang direhatkan susulan prestasi kurang memuaskan The Cops selepas empat perlawanan Liga Premier.

Jurulatih kelahiran Selangor yang mesra disapa Ela akan memulakan tugas membimbing The Cops mulai 9 Mac nanti memandangkan beliau kini sedang menjalani kursus kejurulatihan bagi melayakkannya mendapat Lesen Pro A.

Pengurus pasukan PDRM, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata, selepas merehatkan Fauzi minggu lalu, perbincangan dengan Ela telah diadakan untuk membawanya masuk bagi membimbing pasukan mengharungi Liga Premier 2019.

“Memandangkan Ela kini sedang menjalani kursus bagi melayakkannya mendapat Lesen Pro A, beliau akan hanya bersama pasukan 9 Mac nanti. (Buat masa ini) segalanya berjalan lancar dan beliau akan membimbing pasukan untuk tempoh satu musim.

“Kami harap kehadirannya akan memberikan impak buat pasukan, reputasinya sebagai jurulatih memang terbukti selain pernah bekerjasama dengan penyerang import The Cops, Patrick Ronaldinho Wleh ketika membimbing PKNS sebelum ini,” jelasnya kepada Sukan Sinar.

Untuk rekod, kali terakhir Ela bergelar jurulatih ketika membimbing Melaka United musim lalu yang mana beliau menggantikan Eduardo Almeida selama empat bulan dan berjaya membawa pasukan itu keluar dari zon penyingkiran Liga Super.

Pada masa sama, Kamarul Ariffin memaklumkan, The Cops turut melantik bekas pengendali UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail selaku penolong jurulatih bagi membantu Ela memburu kejayaan.

“Memandangan Ela hanya akan bersama pasukan 9 Mac nanti, jadi tugas membimbing pasukan kini akan dipikul penolong jurulatih Wan Mustaffa untuk berdepan Sabah di Stadium Likas 2 Mac nanti sebelum PDRM menanti kunjungan UKM FC, 9 Mac di Selayang,” katanya.

Selepas mengharungi empat perlawanan, The Cops kini menghuni tangga tercorot liga selepas hanya mencatatkan satu keputusan seri ketika berdepan Negeri Sembilan pada 9 Februari lalu selain tewas tiga kali.

PDRM tewas 1-3 kepada UiTM FC pada aksi pembukaan liga, 2 Februari lalu sebelum seri 1-1 dengan Negeri Sembilan selain tewas 0-1 kepada Pulau Pinang (16 Februari) dan terbaharu, Selangor United (23 Mac).

Komen anda